Kerajaan Sarawak serius tangani ancaman buaya

KUCHING: Kerajaan Sarawak serius dalam menangani peningkatan populasi buaya yang mengancam keselamatan dan nyawa masyarakat dengan 107 operasi menangkap buaya telah dilaksanakan sejak 2020.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, sepanjang operasi dalam tempoh tersebut hingga sekarang, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah berjaya menangkap 95 buaya dan memindahkan 482 biji telur buaya.

"Malah, sebanyak 77 lesen pemburuan buaya juga telah dikeluarkan dengan hasil tangkapan buaya sebanyak 133 buaya sejak 2020 hingga 2022," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini. 

Dalam pada itu, Len memberitahu, kerajaan Sarawak telah merangka pelan pengurusan perlindungan buaya yang baharu.

Jelasnya, pelan tersebut menekankan tiga matlamat iaitu meneruskan usaha pemeliharaan buaya dan habitatnya, memastikan keselamatan terjamin dan memanfaatkan buaya sebagai sumber asli secara lestari.

"Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan berkaitan pengurusan reptilia berkenaan," tambahnya.

Pada masa yang sama beliau berkata, pihaknya juga giat menjalankan kempen kesedaran 3M (memelihara, memahami mengetahui,) di kawasan yang mempunyai kehadiran buaya termasuk mendirikan papan tanda amaran buaya di tempat yang strategik.

Menurutnya lagi, SFC menjadi agensi rujukan berkaitan buaya oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) Crocodile Specialist Group, negara Brunei Darussalam, Filipina serta negeri-negeri lain di Malaysia.

"SFC juga akan meningkatkan kerjasama dengan pakar-pakar dari Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat bagi memperkasakan Pelan Pengurusan Bersepadu Buaya," ujarnya.

Selain itu, Len berkata kerajaan Sarawak bakal menggunakan teknologi GPS untuk memantau kawasan-kawasan buaya dan merekodkan taburannya.

Untuk itu, katanya SFC sedang bekerjasama dengan SAINS untuk membina aplikasi pangkalan data dan pemantauan buaya secara masa terkini agar populasi buaya dapat dipantau berterusan dan ‘hotspot’ dapat dikenalpasti.

Jelasnya, setiap laporan juga bakal disiasat untuk mengenal pasti laluan kemasukan buaya ke kawasan perumahan atau kawasan komersial dengan pemantauan bakal dilakukan secara berkala di lokasi dan sungai-sungai berkaitan. 
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.