Industri gula tempatan lama tak terima subsidi, pengilang minta kerajaan apung atau naik harga

PETALING JAYA: Industri gula tempatan tidak lagi menerima subsidi daripada kerajaan sejak 2013, kata pengilang.

MSM Malaysia Holdings (MSM) berkata, industri gula tempatan beroperasi dalam industri terkawal yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bawah Akta Kawalan Bekalan.

“Harga runcit gula di Malaysia kekal sebagai antara yang termurah di dunia, seperti yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, bekas menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna, Shahrir Samad, mengesyorkan subsidi pukal untuk gula pasir dihentikan, memandangkan Malaysia bukan pengeluar gula mentah.

Katanya, harga rendah gula pasir iaitu RM2.85 sekilogram menyebabkan bahan asas itu diseludup ke negara jiran.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi; dan Kementerian Pelaburan Perdagangan, dan Industri berhubung kewajaran subsidi pukal untuk gula pasir dihentikan.

Dalam pada itu, MSM menggesa campur tangan segera kerajaan dengan cara menaikkan harga atau atas dasar harga terapung, kerana industri gula tempatan beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dengan kos operasi yang tinggi.

“Sebagai pengeluar makanan penting, syarikat penapis gula tempatan memastikan keterjaminan makanan manakala import bukan pilihan yang mampan dan kuota eksport yang terhad dari negara pengeluar, terutamanya India yang mungkin dihentikan untuk melindungi keperluan domestik,” katanya.

Sumber: Laporan FMT dan Gambar Malaysian Reserve
Next Post Previous Post