Jangan biarkan anjing bebas, tak boleh tuntut jika sudah ditangkap

KUCHING-- Anjing yang dilepaskan atau dibiarkan di tempat awam tanpa kawalan dan seliaan adalah dianggap sebagai anjing liar dan akan ditangkap tanpa sebarang kompromi tegas Majlis Daerah Maradong dan Julau dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, ini berikutan daerah Meradong telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies.

Anjing yang telah ditangkap jelasnya tidak akan dapat dituntut.

"Anjing yang dilepaskan atau dibiarkan di tempat awam tanpa kawalan dan seliaan adalah dianggap sebagai anjing liar atau terbiar dan akan ditangkap tanpa sebarang kompromi. 

"Sebarang tuntutan ke atas anjing yang telah ditangkap tidak akan dilayan kerana kawasan Daerah Meradong telah diisytiharkan dan digazet sebagai kawasan wabak Rabies," katanya.

Sehubungan itu, Majlis Daerah Maradong dan Julau berkata, untuk tujuan ini pihak dari Unit Kawalan Haiwan Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar Majlis Daerah Maradong dan Julau akan menjalankan operasi penangkapan anjing liar atau terbiar di kawasan seliaan Majlis termasuk kawasan kampung dan rumah panjang.

Justeru, pihaknya meminta semua penduduk di kampung dan rumah panjang, pemilik dan penyewa premis makanan memberi kerjasama bagi memastikan operasi itu berjalan dengan lancar.

"Kerjasama bagi memastikan semua haiwan peliharaan dikurung di dalam kandang, diikat atau diletakkan di dalam kawasan berpagar bagi mengelakkan haiwan tersebut berada di tempat awam tanpa seliaan dan kawalan pemilik," ujarnya.

Tambahnya, tujuan operasi ini dilakukan bagi mengurangkan kes gigitan anjing yang semakin meningkat.

"Untuk keterangan lanjut, sila berurusan dengan Bahagian Kesihatan Awam Dan Perkhidmatan Bandar; Unit Kawalan Haiwan, Majlis Daerah Maradong dan Julau sama ada dengan lawatan atau menghubungi talian pejabat kami 084-693232 pada waktu pejabat," katanya.
Next Post Previous Post