6 laluan ditutup 21 Mei ini, perasmian Minggu Perpaduan 2023 di Kuching

KUCHING-- Sebanyak enam laluan ditutup pada majlis perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan pada 21 Mei ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, enam laluan itu melibatkan Jalan Main Bazaar / Jalan Tun Abang Haji Openg; Jalan Wayang /Jalan Main Bazaar; Jalan Khoo Hun Yeang; Jalan Old Court House; Jalan Masjid / Jalan Market dan Jalan Dockyard

Mengulas lanjut, Merbin berkata, Sambutan Minggu Perpaduan 2023 akan diadakan pada 20 hingga 26 Mei di Tebingan Kuching.

Jelasnya, majlis perasmian dijadualkan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi memastikan perjalanan sambutan Minggu Perpaduan 2023 berjalan dengan lancar, beliau memberitahu, pihaknyna telah melakukan penutupan dan lencongan jalan di sekitar venue.

Jelasnya, penutupan dan lencongan jalan telah dilakukan bermula 15 Mei jam 7 pagi bagi tujuan pemasangan khemah oleh pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak sehingga 26 Mei 2023 (12 tengah malam).

Tambahnya, antara jalan yang ditutup dan dilencongkan bagi tujuan pemasangan khemah adalah Jalan Main Bazaar / Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Gambier.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, orang awam dinasihati meletak kenderaan di kawasan yang
ditetapkan iaitu Reservior Park, Bangunan Saujana, Medan Letak Kereta UTC, Jalan Urat Mata, Medan Letak Kereta Sarawak Plaza, Dewan Suarah Kuching, Bangunan Tun Jugah, Bangunan Medan Pelita dan Medan Letak Kereta Plaza Merdeka.

"Bagaimanapun, keperluan penutupan dan lencongan jalan
ini bergantung kepada keadaan semasa yang difikirkan sesuai berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pegawai polis trafik yang bertugas agar tidak menganggu pengguna jalan raya yang ingin melakukan aktiviti harian yang lain. 

"Orang awam adalah dinasihati untuk mengikut tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai polis yang bertugas dan dilarang meletak kenderaan di bahu jalan yang akan menyebabkan
kesesakan lalu lintas. Kerjasama semua amat diharapkan bagi melicinkan perjalanan majlis ini," ujarnya.

Next Post Previous Post