Remaja tempatan dicekup bersama lebih 52kg syabu di Batu Kawa

KUCHING-- Seorang remaja diberkas bersama 52.516 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta di sebuah pangsapuri di Batu Kawa, awal pagi semalam. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek lelaki tempatan berusia 18 tahun ditangkap pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak. 

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebanyak 52,516 gram dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM1,890,576," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. 

Tambah Azman, polis juga menyita sebuah kereta di bawah Seksyen 25 Akta Dadah 
Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM40,000.

Dedah beliau lagi, suspek adalah seorang penganggur dan didapati tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah.

Mengulas lanjut, katanya modus operandi, 
suspek dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah syabu sejak April 2023. 

"Dadah dikirim melalui perkhidmatan 
kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung. 

"Suspek akan menghantar dadah ke lokasi yang diarahkan melalui telefon," jelasnya. 

Menurutnya lagi, pasaran adalah untuk sekitar daerah Kuching dan daerah-daerah berdekatan.

Katanya, rampasan dadah syabu seberat 52,516 gram ini, boleh digunakan oleh seramai 262,550 kali penggunaan.

Berikutan itu, tegasnya, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibuat di
hadapan majistret kuching pada 18 Mei 2023 dan diluluskan selama tujuh hari bermula 19 Mei 2023 hingga 25 Mei 2023.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, 
dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.

"Polis khususnya Jabatan Siasatan 
Jenayah Narkotik akan terus mempertingkatkan usaha bagi 
memerangi kegiatan pengedaran dadah dengan menangkap ahli sindiket atau individu yang terlibat, serta melumpuhkan
sumber bekalan dadah, kewangan dan aset mereka bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dibanteras, " ujarnya.
Next Post Previous Post