Labur RM1.4 juta tapi dapat RM3,260

KUCHING-- Seorang peniaga kedai perubatan tradisional di Kuching rugi RM1. 4 juta apabila menjadi mangsa terbaharu penipuan pelaburan. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis menerima laporan daripada mangsa, wanita berusia 40 tahun itu pada 18 Mei lalu berhubung kes tersebut. 

"Mangsa memberitahu pada 1 Februari 2023 semasa berada di rumah di Kuching 
telah ditawarkan satu pelaburan crypto exchange oleh kenalan yang dikenali 
di dalam aplikasi Weibo.

"Kenalan tersebut telah memberikan satu link iaitu wbex melalui whatsapp kepada mangsa. mangsa melalui link wbex tersebut telah mendaftar butiran peribadi seperti nama, alamat email, no telefon, gambar kad pengenalan, serta nombor akaun bank.

"Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan 
pulangan yang tinggi dalam graf pelaburan yang terdapat dalam aplikasi tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. 

Tambahnya, antara tarikh 1 Februari 2023 sehingga 5 Mei 2023 mangsa telah membuat 34 transaksi pembayaran kepada 25 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM1.4 juta. 

"Mangsa hanya mendapat satu kali pulangan pelaburan berjumlah RM3,260 pada awal pelaburan pada 1 Februari 2023," jelasnya. 

Kata Azman, mangsa sedar dirinya ditipu setelah tidak lagi menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan," ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu 
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak dari tempoh 1 Januari hingga 30 April 2023, telah menerima laporan 67 kes penipuan pelaburan melibatkan kerugian sebanyak RM5.9 juta.

Tambahnya, bagi membendung jenayah komersil itu, pihaknya telah membuat 18 tangkapan yang mana sebanyak 28 kertas siasatan telah dituduh bagi tahun 2023. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak mudah terperdaya dengan iklan atau tawaran dalam media sosial berkenaan dengan pelaburan yang kononnya menjanjikan keuntungan yang 
tinggi.

"Jangan mudah memindahkan wang atau memberikan butiran perbankan kepada orang yang tidak dikenali yang menawarkan keuntungan yang tinggi, 
sebaliknya terus hubungi atau hadir di balai polis / pihak bank yang 
berhampiran bagi mendapatkan nasihat," ujarnya.
Next Post Previous Post