Banyak menara, tapi tiada kuali, Kementerian Komunikasi bantu selesai masalah internet di Sarawak

KUCHING--Kementerian Komunikasi dan Digital akan membantu menyelesaikan isu berkaitan internet yang dihadapi Sarawak khusus pembinaan menara tetapi tidak mempunyai kuali.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, beliau 
difahamkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sedang memasang lebih 600 menara di Sarawak.

"Tetapi kurang separuh daripadanya mempunyai operator telekomunikasi yang telah beroperasi.

“Sebahagian daripada menara ini terletak di kawasan yang mempunyai liputan 4G, tetapi selebihnya tidak memiliki capaian internet tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bilik media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang meneliti beberapa ikhtiar untuk segera menyelesaikan masalah itu termasuk memanggil mana-mana syarikat telekomunikasi untuk memberikan arahan.


"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh meminta atau memberi arahan kepada pengendali rangkaian mudah alih atau syarikat telekomunikasi untuk menyediakan perkhidmatan," ujarnya.

Beliau berkata, ia merupakan antara agenda utama perbincangannya dalam kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Kita sedang meneliti beberapa perkara untuk mencari langkah penyelesaian segera berhubung masalah liputan internet di Sarawak.

"Ia termasuk menyelesaikan masalah menara telekomunikasi tanpa prasarana lengkap di seluruh kawasan parlimen di Sarawak," jelasnya.
Next Post Previous Post