Tak perlu cop pasport di Brunei, ini cara jelajah Borneo melalui jalan darat dari Miri

MIRI— Suatu ketika dulu, jelajah Borneo dari Kuching ke Sabah menggunakan jalan darat tanpa melalui Brunei dianggap hanya cereka fantasi.

Mujurlah bermula dari fantasi, ia menjadi kenyataan yang manis khususnya bagi rakyat Malaysia yang sekian lama terbelenggu dengan masalah imigresen dan peraturan lalu lintas yang ketat lagi membebankan.

Mana tidaknya, sebelum ini rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan, melalui Brunei sebanyak dua kali antara sempadan Miri - Brunei - Limbang dan Limbang- Brunei- Lawas atau sebaliknya jika dari Sabah.

Ramai rakyat mengeluh kerana perlu mematuhi undang-undang ketat yang dikenakan oleh Brunei seperti larangan cermin gelap pada kenderaan serta bayaran keluar masuk ke atas setiap individu.

Selain itu perlu melalui sembilan tempat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) untuk pemeriksaan selain berbaris panjang terutama musim perayaan untuk cop pasport.

Terbaharu, seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Donny, 49, berkongsi pengalaman menggunakan laluan alternatif dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Long Lama.

Donny turut memperincikan semula perjalanan kepada Borneo Network berikutan ramai yang masih tidak tahu jalan yang dilalui, masa perjalanan dan persediaan memandangkan pemanduan melalui bekas jalan balak berbeza di kawasan lain.

“Saya sudah bekerja 29 tahun berkaitan jalan dan tanah, seluruh ceruk kawasan pedalaman Baram, Limbang dan Lawas sudah habis saya ‘pusing’.

“Apa yang saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman saya bertahun-tahun sehingga sekarang saya masih menggunakan laluan ini,” katanya yang berasal dari Lawas.

Menurut Donny, perjalanan bermula dari Miri ke Long Lama yang mengambil masa perjalanan selama dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, dari Long Lama perjalanan diteruskan ke jambatan bailey di Sungai Tutoh.

Selepas memandu kira-kira dua jam, pengguna jalan akan sampai di Kem Melinau, Sungai Tutoh. 

“Untuk ke Limbang, pengguna jalan ikut jalan kiri melintasi Long Napir yang mengambil masa perjalanan antara empat hingga lima jam.

“Manakala ke Lawas pula, ikut jalan kanan melintas Kem Sebayang - Bukit Pintu - Pa Adang/Pa Brunut - Merarap - Lawas. Pemanduan mengambil masa antara lima hingga enam jam.

“Keseluruhan masa perjalanan ke Limbang atau Lawas antara lapan hingga 10 jam bergantung dengan keadaan cuaca,” katanya.

Bagi yang mahu meneruskan perjalanan ke Sabah, pengguna jalan boleh meneruskan perjalanan ke sempadan Sarawak/Sabah di Merapok, Lawas seterusnya ke Sipitang, Sabah.

Donny turut berkongsi tip penting untuk panduan pengguna jalan yang mahu mencuba pengalaman baharu melalui jalan alternatif tersebut.

Antara laluan yang paling mencabar ialah Bukit Magoh yang terletak antara Long Maraan dan sebelum simpang masuk ke Long Seridan.

“Sepanjang 27 tahun saya off road di seluruh Sarawak, Bukit Magoh ini yang paling tinggi dan curam pernah saya lalui. 

“Selain itu, Bukit Pintu jika ke Lawas. Perjalanan bertambah mencabar sekiranya hari hujan.

“Justeru perlu ada pemandu yang berpengalaman dan mahir kerana keadaan jalan yang berbahaya terutama di kawasan curam,” katanya.

Selain itu, pemandu harus peka dengan papan tanda jalan balak yang sentiasa berubah-ubah di sepanjang laluan dan mengikut arahan untuk keselamatan.

“Saya nasihatkan pengguna jalan sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik selain membawa tayar ganti.

“Selain itu bekalan makanan yang mencukupi kerana apa sahaja boleh berlaku, contohnya jalan terputus, lori terbalik, treler kemalangan menghalang jalan atau pembetung terputus,”kata Donny.

Selain jalan alternatif, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM7.2 bilion bagi pembinaan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah Fasa 2 (SSLR 2) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei.

Kerja-kerja pembinaan baru dan menaik taraf jalan sedia itu melibatkan jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer menghubungkan bandar Lawas - Limbang - Mulu yang dijangka bermula dalam masa terdekat.

Ringkasan Jalan Alternatif ke Limbang/Lawas/Sabah tanpa melalui Brunei dari Long Lama, Miri

Miri - Long Lama - Jambatan Sungai Tutoh - Kem Melinau

Simpang kiri - Long Napir - Limbang

Simpang kanan - Kem Sebayang - Bukit Pintu - Pa Adang/Pa Berunut - Merarap - Lawas - Merapok - Sipitang
Next Post Previous Post