Kes gaduh di Jalan pending, polis kesan suspek terlibat

KUCHING-- Polis kini giat mengesan individu yang terlibat dalam kes pergaduhan di Jalan Pending yang berlaku pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian satu video tular berdurasi 20 saat yang dimuat naik di aplikasi X.

"Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan perasaan tidak puas hati oleh pemandu lori kerana tidak diberi laluan. 

"Justeru, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu tahun, atau dengan denda sehingga RM2,000, atau dengan kedua-duanya.

"Bagi Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, tegasnya, polis masih dalam tindakan mengesan suspek yang terlibat. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau di mana-mana balai polis berhampiran. 

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang mengambil tindakan di luar batasan undang-undang," ujarnya.
Next Post Previous Post