Perompak tersungkur ketika merompak rumah di Jalan Stephen Yong
KUCHING-- Sebuah keluarga di Jalan Stephen Yong di sini berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuk perompak dipercayai warga asing bersenjatakan parang awal pagi tadi.
Menurut sumber, kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 2 pagi yang mana perompak terbabit memecah masuk melalui pintu belakang rumah tersebut.
Jelasnya, perompak terbabit bertindak menetak dua mangsa dan kemudian mengikat mereka.
Tambahnya, mujur terdapat beberapa ahli keluarga lain mangsa berada di tingkat atas rumah tersebut.
Jelas sumber, apabila mengetahui kejadian tersebut, ahli keluarga lain turun ke tingkat bawah dan menyerang perompak tersebut.
"Dia benar-benar berniat untuk membunuh. Dia tetak sepupu saya. Sepupu saya yang lebih tua juga kena tetak di lengan, yang muda kena dikepala.
"Semua darah ini adalah milik sepupu saya. Dia hanya berdarah sedikit di mulut. Sekarang berpura-pura separuh mati," kongsi mangsa dalam satu video tular di media sosial hari ini.
Difahamkan, suspek dipercayai lelaki warga Indonesia.
"Jika kejadian ini berlaku pada jam 4 pagi, mungkin kami semua mati kerana sudah tidur lena," tambah mangsa.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut.