Kontraktor diberi masa sebulan mulakan projek, JKR Sarawak

Majlis menandatangani Ikrar Sebulan oleh kontraktor di Ibu Pejabat JKR Sarawak di Kuching. Gambar kredit FB JKR Sarawak

KUCHING— Pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bekenu, Subis Fasa 3 di bawah peruntukan RM1 bilion dijangka bermula dalam masa terdekat.

Timbalan Pengarah (Infrastruktur) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Cassidy Morris berkata, turut dilaksanakan ialah Projek Jiwa Murni membekal bahan binaan dan pembinaan jalan dari Ba Kelalan ke Bario (Fasa 1) Limbang dan sari simpang ke sempadan Indonesia; membina jalan Kampung Long Beyak, Tatau dan menaik taraf jalan balak ke penempatan semula Tegulang (Fasa 5) di Kapit.

Dua lagi projek iaitu pembinaan jalan Rumah Timothy/Tumah Asun, Nanga Mujong menghubungkan jalan balak di Kapit dan pembinaan gantian 10 unit rumah guru di SK Issu/Bangat, Betong.

“Kesemua kontraktor yang dilantik oleh JKR Sarawak telah menandatangani ikrar untuk memulakan projek ini dalam tempoh sebulan dari tarikh penganugerahan.

“Kita berharap kontraktor melaksanakan projek-projek tersebut mengikut ketetapan dan menyiapkanya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya selepas menyaksikan upacara menandatangani Ikrar Sebulan oleh kontraktor projek di Ibu Pejabat JKR Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, Ikrar Sebulan itu merupakan antara komitmen JKR Sarawak selaku penyelia projek itu untuk memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.

Sementara itu, projek gantian penuh dan naik taraf bina baharu SK Bekenu adalah salah satu projek pembangunan sekolah daif di Parlimen Sibuti di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, SK Bekenu disenaraikan untuk projek naik taraf sekolah daif dan blok tambahan dibawah peruntukan RM1 bilion.

“Projek naik taraf SK Bekenu telah diluluskan pada sejak 2021 namun baru sekarang hendak bermula,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ni.

Beliau berkata, selain SK Bekenu, empat lagi sekolah iaitu SK Keluru Jaya yang baru dianugerahkan kontrak; SK Subak dalam proses tender; SK Lambir Village asrama dalam pembinaan serta SMK Luar Bandar melibatkan bina asrama sedang bermula.
Next Post Previous Post