Perwira negara hidup kesepian menghabiskan sisa usia

SIBU— Perdana Menteri yang menerajui Malaysia datang silih berganti, namun masih ada pesara Border Scout yang mendakwa dirinya diserap ke Pasukan Polis Hutan (PPH) di sini yang mengeluh dilayan umpama kain buruk.

Bekas anggota berseragam yang mempertahankan negara, Malcolm Maing, 75 berkata beliau kecewa kerana pengorbanan memerangi komunis dan perjuangan menentang musuh negara ketika itu tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa.

“Saya bukannya mengharapkan balasan untuk setiap pengorbanan, namun memadai bantuan untuk warga emas yang susah seperti saya.”

“Apa yang menyedihkan, saya tidak menerima pencen walaupun sudah 23 tahun berkhidmat dalam PPH. Saya tertanya sendiri apakah saya tidak berhak mendapat bantuan sedangkan saya warga emas hidupnya melarat?,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Malcolm pernah berkhidmat di Kem Lanang dari tahun 1969 hingga 1993 dengan memegang jawatan sebagai Lans Koperal.

Pada 25 Mei 1978, beliau yang berusia 30 tahun ketika itu berjaya membunuh dua orang komunis ketika bertempur dalam kawasan hutan belantara di Ulu Naman, Sibu.

Malcolm sanggup menggadai nyawa menyertai pelbagai operasi dalam memerangi komunis di seluruh Sarawak.

“Selesai era komunis, saya ditugaskan menyertai operasi di Sabah membanteras lanun dari Filipina.”

“Selain itu saya bersama Cawangan Khas berjaya mematahkan penyeludupan ganja oleh warganegara Filipina pada 18 November 1983 di Pengkalan Kunak, Sabah,” katanya.

Malcolm kemudian dianugerahkan surat kepujian dari pegawai tertinggi pasukan polis selain pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2016 yang disampaikan oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem di Sibu.

Bagi komuniti tempatan di Sibu, Malcolm adalah sosok yang dikenali ramai kerana penglibatan aktif khususnya dalam politik. 

Selepas menamatkan perkhidmatannya dengan PPH, Malcolm kemudian diterima bekerja dengan bekas Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King pada 1995 sebagai pegawai khas sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dari tahun 1999 hingga 2008.

Ketika ini, Malcolm meniti hari-hari tua dengan hidup sebatang kara di Rumah Edward Chendang, Sungai Assan.

“Saya hidup bersendirian sejak isteri meninggal dunia setahun lalu. Kedua-dua anak lelaki saya kini menetap bersama keluarga masing-masing di Limbang dan Selangau.

“Saya tidak mahu menyusahkan kehidupan anak-anak kerana mereka ada keluarga yang perlu ditanggung,” kata Malcolm yang kini menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Saban minggu, beliau menunggang motosikal dari rumah panjang untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sibu.

“Bukan hanya sebatang kara dan kesepian, hidup saya turut dihimpit kos sara hidup yang kian meningkat. Saya berharap selepas ini ada pihak yang dapat membantu saya,” katanya.

Malcolm bagaimanapun buat masa ini tidak bercadang untuk berpindah ke Rumah Seri Kenangan, sebaliknya lebih rela mengharungi hari-hari bersendirian di rumah panjang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Ricky @Mohammad Razi Sitam ketika dihubungi petang ini berkata, pihaknya sudah memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Sibu untuk menyiasat dan memberikan bantuan sewajarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Collin Babat bersama beberapa anggota polis dari IPD Sibu meluangkan masa menyantuni Malcolm di kediamannya semalam.

Borneo Network difahamkan, Polis Sibu sedia membantu menyumbang makanan selain membawa beliau ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Manakala untuk bantuan jangka panjang, perkara itu akan dirujuk kepada JKM memandangkan beliau adalah warga emas.

Semoga Kementerian Dalam Negeri kerajaan perpaduan, pimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membantu bekas Border Scout yang terlantar, malah ada yang belum diiktiraf kewarganeraan selepas berjasa di saat kritikal negara ini diancam pengganas.
Next Post Previous Post