Bot karam di Tanjung Manis: Tiada petunjuk dijumpai setakat ini

TANJUNG MANIS-- Operasi Carilamat seorang mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam di Tanjung Jerijeh, Tanjung Manis belum menemukan sebarang petunjuk. 

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, sekitar jam 4 petang tadi, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Sungai Merah, Sibu telah melakukan selaman di sekitar bot karam lebih kurang pada jam 12.24 tengah hari. 

Namun demikian katanya, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui mengaitkan mangsa.

"Berikutan itu, operasi Carilamat diteruskan dengan melakukan pencarian di sektor SAR," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut tentang keluasan pencarian, beliau memberitahu pencarian pada hari semalam adalah seluas 20 batu nautika dan 20.20 batu nautika pada hari ini.

Jelasnya, pencarian melibatkan empat buah aset tim penyelamat, Maritim Malaysia 2 aset (bot petir 82 dan bot perkasa 25 ), Pasukan Polis Marin (PPM) sebuah kapal psc 55, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebuah bot dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebuah bot destini. 

"Pencarian juga turut dibantu oleh tiga buah bot nelayan tempatan.

"Keseluruhan jumlah pegawai dan anggota petugas di lokasi adalah seramai 50 orang," ujarnya. 

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian mers 999 atau pusat operasi maritim malaysia negeri sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

Semalam, lima daripada enam mangsa bot karam berjaya dijumpai dengan selamat selepas bot dinaiki mereks dibadai ribut sekitar jam 6.30 petang Isnin dan mengakibatkan bot terbabit terbalik. 

Gilbert berkata, lima mangsa yang selamat sempat memakai jaket keselamatan dan terapung sehingga dijumpai bot nelayan berhampiran.

Menurutnya, lima mangsa yang selamat terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, dua lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Myanmar. 

Ekoran itu, katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan operasi Carilamat berikutan insiden sebuah bot nelayan karam bersama enam mangsa di perairan Tanjung Jerijeh, Tanjung Manis semalam.

Jelasnya, lebih kurang jam 10.35 pagi semalam, pihak MRSC Kuching telah menerima aduan mengenai kejadian sebuah bot nelayan telah karam bersama-sama enam orang kru di sekitar 7 batu nautika barat laut perairan Tanjung Jerijeh.

"Maklumat awal diterima berdasarkan penemuan bot karam dan peralatan bot yang terapung di sekitar lokasi yang ditemui oleh bot pemancing dan juga penemuan seorang mangsa disyaki selamat di pantai Belawai pada pagi semalam.

"Berdasarkan aduan, Zon Maritim Tanjung Manis telah menggerakkan Bot Petir 82 ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Belawai.

"Sekitar pukul 12.40 tengah hari semalam, lima orang mangsa bot nelayan karam terbabit telah ditemui selamat oleh bot nelayan dan seorang lagi masih belum ditemui," dedahnya. 

Tambah Gilbert, kesemua mangsa yang ditemui selamat telah dipindahkan ke bot petir 82 dan dibawa ke Jeti LKIM Belawai.

"Mangsa yang masih belum ditemui adalah, Wong Pek Kaw, 30, tekong bot tersebut, pakaian terakhir dilaporkan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek," ujarnya. 

Katanya lagi, kesemua mangsa yang selamat telah dibawa ke Klinik Kesihatan Belawai untuk pemeriksaan lanjut. 

Justeru, beliau memberitahu Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan keadaan mendesak untuk ke laut.
Next Post Previous Post