Bot karam di Tanjung Manis: 18 jam terapung, 5 ditemukan selamat, 1 hilang

Kapal tenggelam Belawai, kapal karam Belawai,
TANJUNG MANIS-- "Bot dibadai ribut sekitar jam 6.30 petang Isnin dan mengakibatkan bot yang dinaiki mereka terbalik," kata seorang daripada lima mangsa bot karam di Tanjung Jerijeh, Tanjung Manis yang dijumpai selamat hari ini. 

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, lima mangsa yang selamat sempat memakai jaket keselamatan dan terapung sehingga dijumpai bot nelayan berhampiran.

Menurutnya, lima mangsa yang selamat terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, dua lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Myanmar. 

"Berdasarkan maklumat dari salah seorang mangsa yang selamat, mereka telah dibadai ribut sekitar pukul 6.30 petang semalam dan mengakibatkan bot yang dinaiki mereka terbalik," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan operasi Carilamat berikutan insiden sebuah bot nelayan karam bersama enam mangsa di perairan Tanjung Jerijeh, Tanjung Manis hari ini.

Jelasnya, lebih kurang jam 10.35 pagi tadi, pihak MRSC Kuching telah menerima aduan mengenai kejadian sebuah bot nelayan telah karam bersama-sama enam orang kru di sekitar 7 batu nautika barat laut perairan Tanjung Jerijeh.

"Maklumat awal diterima berdasarkan penemuan bot karam dan peralatan bot yang terapung di sekitar lokasi yang ditemui oleh bot pemancing dan juga penemuan seorang mangsa disyaki selamat di pantai Belawai pada pagi tadi.

"Berdasarkan aduan, Zon Maritim Tanjung Manis telah menggerakkan Bot Petir 82 ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Belawai.

"Sekitar pukul 12.40 tengahari tadi, lima orang mangsa bot nelayan karam terbabit telah ditemui selamat oleh bot nelayan dan seorang lagi masih belum ditemui," dedahnya. 

Tambah Gilbert, kesemua mangsa yang ditemui selamat telah dipindahkan ke bot petir 82 dan dibawa ke Jeti LKIM Belawai.

"Mangsa yang masih belum ditemui adalah, Wong Pek Kaw, tekong bot tersebut, pakaian terakhir dilaporkan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek," ujarnya. 

Katanya lagi, kesemua mangsa yang selamat telah dibawa ke Klinik Kesihatan Belawai untuk pemeriksaan lanjut. 

Sehubungan itu, beliau memberitahu Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan keadaan mendesak untuk ke laut. 

"Komuniti maritim juga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan.

"Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis di talian 010-5063293 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau talian MERS 999," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.