Remaja maut akibat kemalangan di Jalan FAC Matang

KUCHING-- Seorang remaja disahkan meninggal dunia hari ini ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak akibat cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan Jalan Fac Matang malam semalam. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Alif Ajaman, berusia 17 tahun berasal dari Batu 10, Jalan Matang. 

Jelasnya, kemalangan itu berlaku pada 4 Mac 2023 sekitar jam 10.30 malam di Jalan Fac Matang melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang pemuda berusia 20 tahun dengan sebuah motosikal jenis Yahama yang ditunggang mangsa. 

"Kemalangan berlaku semasa kereta terbabit bergerak lurus menghala ke Kampung Selang Ulu semasa melalui Jalan Fac Matang tiba-tiba telah dilanggar oleh motosikal mangsa dari arah belakang di laluan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, akibat dari pelanggaran, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan manakalan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah terutama di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. 

Bagaimanapun, katanya, pada hari ini jam 12.14 tengah hari semasa remaja terbabit menerima rawatan di unit kecemasan, mangsa telah meninggal dunia dan telah disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak. 

Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.