Bertahun adu belum ada tindakan, penduduk Taman Everbright terjejas akibat parit usang

KUCHING-- Penduduk Taman Everbright di sepanjang Jalan Kempas merayu kerajaan Sarawak terutamanya Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menaik taraf sistem perparitan utama di perumahan tersebut. 

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, sistem perparitan utama di kawasan tersebut telah usang hingga menyumbang kepada masalah banjir kilat dan hakisan. 

"Selama bertahun-tahun, penduduk Taman Everbright di sepanjang Jalan Kempas telah melaporkan keadaan buruk longkang utama di kawasan itu kepada MBKS.  

"Semasa lawatan, saya telah menyaksikan sendiri keadaan parit-parit ini yang teruk dan memerlukan perhatian segera.  

"Keadaan semasa parit menjadi teruk sehinggakan tanah di beberapa kawasan yang terdedah kepada hujan mengalami banjir kilat sehingga mengakibatkan hakisan tanah dan kerosakan harta benda berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, semasa lawatannya, beliau berpeluang bercakap dengan "Chong", seorang penduduk lama yang telah menghadapi isu ini selama hampir sedekad.  

"Walaupun memfailkan beberapa aduan ke pejabat pihak berkenaan dan membangkitkan isu ini berulang kali, longkang di kawasan ini masih tidak ditangani.  

"Pengabaian itu telah menyebabkan kerosakan besar kepada harta kediaman Encik Chong, termasuk asas rumahnya dan dinding pagar. 

"Ini adalah perkara yang serius kerana ia melibatkan kerosakan harta peribadi, dan risiko kerosakan selanjutnya pada rumah lain di sepanjang Jalan Kempas adalah tidak boleh diterima.  

"Oleh itu, adalah mustahak MBKS mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini dan mencegah sebarang kemudaratan tambahan kepada harta benda masyarakat," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mewakili penduduk di situ menggesa MBKS untuk meningkatkan taraf perkhidmatan mereka dan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Katanya lagi, PBT mesti mengambil tindakan pantas dan cekap untuk menangani aduan utama yang dikemukakan oleh orang ramai.

Tambahnya, adalah penting bagi PBT melibatkan diri dengan masyarakat dan menyediakan kemas kini tetap mengenai rancangan dan kemajuan mereka.


Next Post Previous Post