Trans Borneo : Langkah ke hadapan, Sarawak perlukan perkhidmatan kereta api laju dan kargo

Susunan dan suntingan oleh Sudan Ajang

𝙆𝙚𝙧𝙖𝙟𝙖𝙖𝙣 𝙎𝙖𝙧𝙖𝙬𝙖𝙠 𝙙𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙧𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙪𝙖𝙣 perlu membuka mata dan minda terhadap perancangan dua negara jiran membangunkan sistem keretapi laju bagi tujuan pengangkutan massa dan keretapi barang dan kargo khususnya membawa hasil perlombongan dan komoditi pertanian ke pelabuhan utama.

Hal ini penting kerana Sarawak berkongsi Kepulauan Borneo dengan Kalimantan dan Brunei. Apa jua bentuk pembangunan di kedua-dua negara jiran pasti membawa impak terhadap negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan Persekutuan mesti membantu Sarawak membangunkan sistem laluan kereta api.

“Kerajaan Persekutuan boleh bantu Kerajaan Sarawak untuk berunding dengan pihak Indonesia untuk menyediakan rel kereta api untuk kemudahan mengangkut barangan dari Kalimantan pergi ke Pelabuhan Bintulu, menggunakan kemudahan Pelabuhan Bintulu,” katanya dipetik TVS baru-baru ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menambah, kedua-dua negara boleh merancang untuk membangunkan laluan kereta api di sempadan Sarawak dan Kalimantan demi kebaikan bersama.

“Mengikut jaringan, jalan laut agak jauh, jadi ia boleh memudahkan Indonesia untuk eksport sebab Kalimantan banyak sumber, jadi kalau kita dapat manfaatkan..boleh dibangunkan secara bersama dengan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan rel kereta api jika direalisasikan sudah pasti memanfaatkan ekonomi di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

“Justeru kedua-dua negeri harus mempersiapkan diri terutama dari aspek pembangunan sempadan selain meneroka jalinan Business-to-Business (B2) dengan negara itu.

“Pembangunan bandar-bandar di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan.

“Antara aspek pembangunan sempadan yang akan diberi tumpuan ialah penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” kata Fadillah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi tujuan naik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang 1,881 kilometer sempadan yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia.

Kita sedia maklum, Republik Indonesia ketika ini sedang rancak membangunkan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Satu daripada strategi nasional itu ialah pembinaan jaringan rel kereta api Trans Kalimantan.

Menurut Kementerian Perhubungan Republik Indonesia (Kemenhub), Trans Kalimantan sepanjang 2,428 kilometer menghubungkan Kalimantan Timur (Kaltim), Kalimantan Selatan (Kalsel), Kalimantan Tengah (Kalteng), Kalimantan Utara (Kaltara) dan Kalimantan Barat (Kalbar).

“Kemenhub juga menganggarkan kurang lebih Rp 22,9 triliun untuk pembangunan 2.428 km jalur Trans-Kalimantan dalam lima tahun. Kerajaan akan membangun jalur kereta sepanjang kurang lebih 2.500 km yang menyerupai huruf U dari Pontianak Kalimantan Barat hingga ke Samarinda, Kalimantan Timur,” menurut portal kementerian itu.

Tujuh tahun dari sekarang iaitu pada 2030, jaringan kereta api ini akan menghubungkan seluruh wilayah di Kalimantan termasuk Sangkutirang, Samarinda, Balikpapan, Banjarmasin, Palangkaraya, SIntang hingga ke Pontianak.

Trans Kalimantan akan memberi akses pengangkutan yang cepat, jimat dan murah kepada lebih 2.6 juta penduduk di kepulauan itu.

Ia bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi di bumi Kalimantan yang kaya dengan sumber alam. Pengangkutan kereta api memudahkan komoditi seperti terutama minyak sawit selain batu bara, nanas dan produk pertanian diangkut ke pelabuhan.

Jaringan rel kereta api ini akan menghubungkan daerah-daerah yang terpencil lagi terpinggir namun mempunyai potensi sumber alam.

Komite Percepatan Penyediaan Infrastruktur Prioritas (KPPIP) mengunjurkan kereta api Kalimantan ini mencapai 6 juta penumpang setahun dan 50 juta tan khususnya komoditi sawit setahun.

Akses ini akan meningkatkan kemakmuran dan kesejahetaraan rakyat di Pulau Kalimantan. Ekonomi Kalimantan yang disifatkan statik dalam tempoh 30 tahun sebelum ini akan meningkat dengan kemasukan pelabur-pelabur asing. Industri pelancongan akan berkembang.

Kalimantan menjadi sumber pertumbuhan baru dan penyeimbang ekonomi antara wilayah.

Ini tidak mustahil dilaksanakan. Indonesia mempunyai sejarah yang membuktikan mereka mampu mewujudkan sistem kereta api. Memetik thejakartapost, negara itu mempunyai rel kereta api sepanjang 5,196 km dan mensasarkan 3,258 km rel baharu meliputi Trans Sumatra, Selatan Jawa, Trans Sulawesi, Trans Kalimantan dan Trans Papua.

Kerajaan turut menghantar 50 pelajar untuk belajar pengurusan kereta api di Rusia untuk membangunkan sistem yang merangkumi pengangkutan awam dan komoditi.

Sebelum ini, Brunei turut mempunyai perancangan untuk membangunkan sistem kereta api rentas Borneo melibatkan Malaysia dan Indonesia.

Memetik mynewshub, sistem itu dicadang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini selain pelabuhan laut dalam utama di Muara yang juga dermaga persinggahan banyak kapal persiaran penumpang dari luar negara; Sabah: Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Beaufort; dan Sarawak: Miri, Bintulu, Serian, Sibu, Kuching.

Mungkin kita lupa, projek mega tersebut pernah dicadangkan Malaysia pada tahun 2000 melibatkan jarak keseluruhan 3,640 kilometer dengan kos dianggarkan RM30 bilion dan sepatutnya siap pada 2010.

Namun projek itu tidak diteruskan sehinggalah pada 2015 Presiden Joko Widodo berhasrat menghubungkan laluan kereta api dengan Brunei dan Malaysia bagi merancakkan kepesatan ekonomi Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).

Ketika artikel ini ditulis, sosok Presiden Joko Widodo berada di Kalimantan Timur untuk meninjau perkembangan pembangunan Ibu Kota Nusantara yang sedang dilaksanakan.

“Setakat ini pembangunan IKN sudah mencapai 14 peratus. Saya optimis pembangunan terutama infrastruktur akan siap dalam tempoh 15 tahun,” katanya dipetik VoaIndonesia.

Malahan, baru-baru ini Jokowi menyempurnakan pecah tanah projek hidroelektrik Mentarang - yang disifatkan beliau manifestasi kerjasama baik Indonesia-Malaysia vis-a-vis Kerajaan Sarawak dan Kalimantan.

Jokowi percaya projek bernilai AS$2.6 bilion itu mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyatnya.

Pelaburan SEB dalam projek itu merupakan perbelanjaan modal strategik untuk meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau.

SEB mempunyai 25% ekuiti dalam syarikat induk yang mempunyai dua pemegang saham lain iaitu PT Kayan Patria Pratama (25%) dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk (50%). 

Joko Widodo dalam ucapannya berkata projek itu mencerminkan semangat kerjasama yang kuat antara rakyat Indonesia dan Malaysia sebagai negara jiran dan mereka adalah "orang yang mempunyai saham yang sama".

Persoalan, apa langkah seterusnya jika kita mahu Sarawak terus kekal relevan di Kepulauan Borneo khususnya dari segi ekonomi?

Penyertaan Sarawak dalam HEP Mentarang di Kalimantan Utara melalui Sarawak Energy Berhad merupakan langkah penting ke arah itu bagi sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Jo serta pasukan pemikir beliau perlu bertindak segera dan mempersiapkan prasarana di Sarawak khususnya sistem pengangkutan yang cekap bagi mengimbangi perkembangan di negara jiran.

Dengan adanya Timbalan Perdana Menteri kelahiran Sarawak di dalam Kerajaan Perpaduan, tekanan perlu dibuat bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan rangkaian kereta api yang menghubungkan Sarawak dan Sabah ke ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.

Setahun yang lalu, mantan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee ka Siong ketika persidangan Dewan Negara berkata, kementerian belum mempunyai sebarang cadangan bagi ketersambungan pengangkutan darat dan udara dari Sarawak dan Sabah ke ibu negara baharu Indonesia itu

“Sebarang cadangan perlu disokong dengan statistik unjuran penumpang supaya perancangan terperinci dapat disediakan.

“Di Sarawak, ketika ini tumpuan sedang diberikan kepada penyediaan rangkaian rel bandar di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang diterajui Sarawak Metro.

"Sementara di Sabah tumpuan sedang diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur kereta api serta mutu perkhidmatan kereta api yang diterajui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS)," katanya.

Sarawak dan Kalimantan masing-masing mempunyai kekuatan iaitu sumber alam yang melimpah. Namun kita perlu bersiap sedia berdepan dengan saingan ekonomi baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kita perlu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Kalimantan. Sudah sampai masanya cadangan sistem kereta api ini dibawa semula ke Parlimen bukan sekadar sembang-sembang kosong.
Next Post Previous Post