MPP naik taraf Pasar Kota Sentosa secara berperingkat - Lo Khere Chiang

KUCHING--Kerja-kerja menaik taraf Pasar Kota Sentosa akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan aktiviti perniagaan penjaja di situ tidak terjejas, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Beliau memberitahu, projek tersebut telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik untuk memulakan kerja pada 1 Mac 2023.

"Notis untuk memaklumkan kepada penjaja mengenai pelaksanaan projek tersebut juga dipamerkan di pasar berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata, projek berkenaan merupakan permohonan daripada penjaja dalam usaha memastikan kemudahan dan persekitaran lebih selesa.

Jelasnya, ini sebagai menyahut permintaan penjaja yang mana MPP telah mencari dan berjaya mendapatkan pembiayaan di bawah dana Program Transformasi Luar Bandar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap untuk menaik taraf pasar Kota Sentosa sedia ada.

Tambahnya, skop kerja-kerja menaik taraf tidak akan menjejaskan waktu peniagaan penjaja di pasar. 

"MPP mengetahui kerja-kerja menaik taraf tidak boleh mengganggu aktiviti perniagaan dengan perjanjian telah dibuat bersama kontraktor yang dilantik untuk memulakan kerja-kerja naik taraf secara berperingkat.

"Sekiranya kerja-kerja menaik taraf menjejaskan penjaja pada bila-bila masa, MPP akan memaklumkan kepada penjaja yang terjejas," katanya lagi.

Menurutnya, ia untuk memberi masa yang cukup kepada penjaja untuk menyediakan diri dan MPP akan mengatur tapak perdagangan alternatif, jika perlu.

Selain itu, katanya, kakitangan MPP akan sentiasa berhubung dengan penjaja di pasar berkenaan untuk memaklumkan tentang kemajuan kerja yang sedang dan akan dijalankan.

"Sehubungan itu, jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan kerja-kerja menaik taraf, orang ramai atau penjaja boleh terus menghubungi Pejabat MPP (Bahagian Kejuruteraan) di talian 082-615566 atau menghubungi kakitangan majlis yang ditempatkan di pasar tersebut," ujarnya.
Next Post Previous Post