Pembakaran terbuka di Kuala Baram, NREB keluar 3 kompaun

MIRI — Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) hari ini mengeluarkan tiga kompaun terhadap individu selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di Kuala Baram.

Pegawai NREB Wilayah Utara Miri, Joseph Uyo berkata, selain kompaun individu tersebut turut diberi amaran keras untuk tidak melakukan pembakaran terbuka pada masa akan datang.

“Saya ingin menasihatkan komuniti setempat untuk tidak melakukan pembakaran terbuka kerana bahaya kebakaran gambut yang boleh menyebabkan kejadian jerebu setempat.

“Aktiviti pembakaran terbuka akan menyebabkan penurunan kualiti udara yang akhirnya menjejaskan kesihatan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Joseph menambah, keseluruhan sebanyak empat kompaun dikeluarkan kepada individu sepanjang tempoh tahun ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPPP) Miri mengingatkan pemaju perumahan dan pemilik ladang yang berdekatan tanah kosong yang belum dibangunkan tidak melakukan aktiviti pembakaran.

“Selain itu mereka harus menyediakan kaedah ‘fire break’ di atas tanah kosong bagi menghalang api daripada merebak sekiranya berlaku kebakaran tanah gambut dan belukar di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut merayu orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Laporkan segera kepada pihak Bomba sekiranya mengesan aktiviti pembakaran terbuka atau kebakaran belukar,” katanya.

Semalam, JPBB Miri telah meninjau lokasi kebakaran di tanah gambut di Kuala Baram selepas dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Miri.

Gambar hiasan
Next Post Previous Post