Gara-gara takut bini, lelaki buat laporan polis palsu

KUCHING-- Bimbang dimarahi isteri kerana belum membayar kos rawatan berjumlah RM2,000 di salah sebuah Pusat Jagaan di sini, seorang lelaki warga emas membuat laporan polis palsu disamun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, lelaki berusia 66 tahun itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching jam 1.37 tengah hari semalam, melaporkan dia disamun dua lelaki dengan menggunakan senjata pisau.

"Kejadian dilaporkan berlaku jam 10.30 pagi semalam di Jalan Pisang, suspek mengalami kerugian RM2,000 dan dokumen pengenalan diri.

"Siasatan yang dijalankan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah(BSJD) IPD Kuching mendapati wujud keraguan dalam laporan polis yang dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan suspek mengaku membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian samun disebabkan bimbang dimarahi isteri kerana belum membuat pembayaran kos rawatan berjumlah RM2,000 di salah sebuah Pusat Jagaan.

"Berikutan itu satu laporan polis dibuat ke atas perbuatan suspek yang membuat laporan palsu.

"Berdasarkan statistik pada tahun lalu sebanyak 13 laporan polis palsu berkenaan kes samun diterima sedangkan kejadian berkenaan tidak berlaku," ujarnya.

Merbin berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sehingga 16 Mac sebanyak tiga laporan telah diterima, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post