Dua lelaki dicekup disyaki terlibat rompakan berkumpulan

KUCHING-- Dua lelaki diberkas sepasukan polis petang tadi di lokasi berasingan kerana disyaki terlibat dalam kes rompak berkumpulan sebuah kedai 24 jam. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

Jelasnya, suspek pertama berusia 25 tahun ditangkap sekitar jam 4.30 petang di
tepi Jalan Bentara, Kampung Wawasan Jaya, Semariang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan dan BSJD Kuching. 

"Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

"Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Viva, satu rangkai anak kunci kereta, satu beg hitam, lima bungkus rokok jenis Dunhill, sehelai Sweater warna hitam jenama Arie Caster Channel dan sebilah sabit berhulu warna merah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara suspek kedua berusia 22 tahun pula, kata Abang Zainal, dia ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong Bentara, Kampung Wawasan Jaya, Semariang sekitar jam 4.40 petang oleh sepasukan dari BSJD Padawan dan BSJD Kuching. 

Dedahnya, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan cubaan merompak dan rompakan berkumpulan. 

Tegasnya, polis turut merampas sebilah pisau yang telah patah, sehelai Sweater jenama Adamson warna hitam dan seunit telefon Oppo A54. 

"Kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman esok untuk siasatan lanjut," ujarnya. 

Kes masih dalam siasatan.
Next Post Previous Post