Pelan Tindakan Biojisim Kebangsaan dijangka siap Julai ini, Fadillah

KUALA LUMPUR— Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang membangunkan Pelan Tindakan Biojisim Kebangsaan yang dijangka siap pada Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri 
Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelan itu merangkumi lima sektor iaitu perladangan, pertanian, penternakan, perikanan dan perhutanan.

“Aspirasi saya adalah untuk mempunyai ekonomi sirkular yang mampan dalam kesemua sektor tersebut melalui penggunaan bersistematik dan pemprosesan biojisim menjadi nilai tambah tinggi produk yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada industri sebagai keseluruhan.

“Salah satu projek berimpak tinggi yang akan dimulakan oleh Lembaga Minyak Sawit malaysia (MPOB) dalam Rancangan Malaysia ke-12 ialah pengeluaran lignoselulosa daripada biojisim yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor seperti industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

“Saya harap kementerian saya bersama-sama Bursa Malaysia dan agensi berkaitan akan meneruskan kerjasama ini,” katanya.

Beliau demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan & Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit & Laurik (POC2023) di sini.

Dalam pada itu Fadillah percaya terdapat keperluan mendesak untuk industri menumpukan kepada kemajuan teknologi dalam sektor agrikomoditi.

“Saya menggesa industri untuk mempertimbang supaya melabur lebih banyak dalam mekanisasi dan automasi, memandangkan harga minyak sawit yang stabil telah menyumbang kepada keuntungan yang lebih tinggi setakat ini.

“Oleh itu, adalah masa yang sesuai untuk melabur semula untuk menambahbaikan industri dengan memanfaatkan teknologi pertanian terkini.

“Kedua-dua firma teknologi domestik dan luar negara digalakkan untuk membangunkan penyelesaian canggih untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi di ladang kelapa sawit,” kata Fadillah.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb, kerajaan mengumumkan geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan automasi dalam sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
Next Post Previous Post