Rabies : Empat maut suku tahun pertama 2023, hati-hati jumpa anjing liar di Sarawak

KUCHING: Wabak rabies yang melanda Sarawak sejak 2017 belum berakhir apabila masih menyumbang empat kes kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Mac tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ini menjadikan jumlah kematian melibatkan manusia akibat rabies di Sarawak kini sebanyak 40 sejak kes pertama dilaporkan pada 2017. 

"Empat kes kematian itu direkodkan masing-masing satu kes di Sibu, Kanowit, Siburan dan Bintulu.

"Malah, bagi kes gigitan haiwan untuk tempoh sama tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu 2,210 kes dengan 1,205 merupakan kes gigitan anjing, 985 kucing dan 20 kes gigitan haiwan lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media mengenai penganjuran Asia for Animals (AFA) Sarawak Conference 2023 di sini baru-baru ini.

Justeru, beliau mengingatkan pemilik haiwan peliharaan khususnya anjing serta kucing agar memberi suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun.

Jelasnya, suntikan ini boleh didapati di pejabat Jabatan Veterinar di seluruh negeri secara percuma atau semasa program suntikan vaksin anti-rabies yang diadakan secara kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tambahnya, langkah ini penting kerana pemilik tidak mengetahui sama ada haiwan peliharaan ada virus rabies atau tidak.

Selain itu, Dr Sim mendedahkan, anjing liar juga menyumbang kepada kes-kes gigitan dan bimbang mempunyai rabies kerana tidak semuanya sudah divaksin.

"Oleh itu, anda harus berhati-hati ketika terserempak dengan anjing liar bagi mengelak daripada digigit kerana tidak semuanya sudah divaksin.

"Jika kamu digigit dan tidak segera mendapatkan rawatan, kalau dibiarkan virus rabies boleh menjangkiti otak, 99 peratus peluang untuk mangsa meninggal dunia.

"Pada 2017, ada seorang mangsa rabies di Serian yang masih hidup hingga sekarang tetapi dia perlu dijaga seumur hidupnya kerana mengalami kerosakan otak. Jadi ini perkara yang sangat serius," jelasnya.

Katanya lagi, ramai mula lupa atau alpa dengan ancaman rabies kerana pandemik COVID-19 yang melanda dua tahun lalu.

Tegas beliau, banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan negeri selain mengadakan program vaksinasi anti-rabies percuma, satu pasukan khas dinamakan 'Immune Belt Enforcement Team' (iBET) ditubuhkan. 

"Kita ada 32 anggota iBET yang ditempatkan di sepanjang sempadan negeri bermula dari Sematan hingga Lawas bagi mengawal penularan wabak rabies dengan lebih proaktif terutama di kawasan sempadan negara," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah JPVS Dr Adrian Susin Ambud menjelaskan bagi tempoh Januari hingga 5 Mac 2023 sebanyak 40 sampel haiwan dikumpul dan diuji, 18 daripadanya disahkan positif rabies iaitu 16 sampel anjing manakala dua kucing.

Katanya, 514 haiwan telah divaksin, 492 adalah anjing dan 22 kucing sepanjang program vaksinasi anti-rabies yang diadakan di seluruh negeri bagi tempoh sama.
Next Post Previous Post