Rombak pengambilan penjawat awam demi keseimbangan - Alexander Nanta Linggi

KUCHING-- Sistem Pengambilan Perkhidmatan Awam Sarawak memerlukan perubahan yang memberi lebih makna untuk semua kaum, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi. 
 
Tegasnya, beliau amat serius dalam menggesa kepada perubahan dan penambahbaikan yang lebih bermakna dalam sistem semasa yang digunapakai dalam pengambilan pegawai perkhidmatan awam terutamanya di Sarawak.

Jelasnya, dalam beberapa hari kebelakangan ini berikutan kenyataannya di media yang mencadangkan Perkhidmatan Awam Sarawak perlu mengambil lebih ramai Dayak dan Cina, beliau telah menerima banyak maklum balas dan juga meminta lebih banyak komen, penjelasan dan pengesahan jika beliau benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya itu.  

"Saya agak sibuk sepanjang minggu lepas jadi saya hanya dapat mencari masa untuk menulis ini.
 
"Ya, saya serius menyeru kepada perubahan dan penambahbaikan yang lebih bermakna dalam sistem semasa yang diaplikasikan dalam pengambilan pegawai perkhidmatan awam dalam Kerajaan Sarawak.
 
"Objektifnya adalah untuk menambah baik sistem semasa bagi memastikan peluang yang adil kepada semua orang daripada pelbagai etnik yang ingin berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Nanta berkata, cara paling mudah adalah dengan berpandukan sistem kuota pada peringkat pengambilan penting, dan kemudian susulan dengan keadilan berterusan di semua peringkat kenaikan pangkat.  

"Sudah tentu, kenaikan pangkat juga mesti berdasarkan sistem 'merit'.

"Saya kagum dan menyokong penuh pengumuman YAB Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini bahawa beliau mahu menjadikan Perkhidmatan Awam Sarawak sebagai satu kedudukan tertinggi bagi memastikan pembangunan dan perkhidmatan terbaik untuk Sarawak.
 
"Premier Sarawak juga mengisytiharkan bahawa Perkhidmatan Awam Negeri adalah untuk mengambil yang terbaik dan mereka akan diberi ganjaran yang sewajarnya dengan emolumen yang lebih tinggi.  

"Ini sememangnya satu langkah yang sangat baik, tetapi lebih daripada itu, prinsip asas 'berpatutan'; produktiviti; boleh 'mengupah dan memecat'; integriti dan keterangkuman, juga mesti menjadi sebahagian daripada skim untuk merombak Perkhidmatan Awam Negeri," ujarnya. 

Selain itu, Nanta memberitahu, Premier Sarawak juga membuat keputusan yang membanggakan yang bermula dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). 

"Ini amat dipuji (UEC masih tidak diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan). Seterusnya adalah untuk memastikan keadilan dalam peluang kepada semua.  

"Lagipun, banyak yang telah diperkatakan tentang keterangkuman, jadi mari kita lakukan dengan adil.
 
"Saya ingin menyatakan penghargaan saya kepada semua yang telah menyatakan sokongan mereka dalam perkara ini.  

"Bukan niat saya untuk mencari pujian untuk peribadi atau populariti semata-mata dalam isu ini, percaya atau tidak, rasa tidak puas hati yang berleluasa sentiasa membara selama ini, tetapi diakui seperti yang saya nyatakan di atas, keadaan sememangnya telah berubah menjadi lebih baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
 
"Terima kasih kepada perubahan minda dan usaha Kerajaan Sarawak baru-baru ini," tambahnya lagi.  

Pada masa sama beliau memberitahu beberapa pemimpin Sarawak, khususnya Premier Sarawak Abang Jo telah menunjukkan minat dan usaha yang ikhlas untuk mencapai Perkhidmatan Awam Sarawak yang lebih seimbang dari segi kaum.  

"Baik tetapi tidak mencukupi. Namun, pengubahsuaian itu perlu dilakukan untuk sebenar dan bermula sekarang.
 
"Bagi sesiapa yang percaya akan keperluan untuk menyatakan pendapat bagi menyokong usaha ini, marilah kita semua terus merayu kepada pemimpin-pemimpin negeri untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan yang diperlukan dalam sistem.  

"Semua pihak berkepentingan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa Sarawak sememangnya tempat yang menggembirakan untuk semua, bukan sahaja untuk rakyat Sarawak tetapi juga untuk pengunjung dan rakan-rakan," tegasnya.
Next Post Previous Post