Harga getah asli bergantung kepada permintaan, tawaran global- Fadillah

 

KUALA LUMPUR-- Harga getah asli bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof . 

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, memandangkan syer pengeluaran Malaysia bagi tahun 2022 hanya 3.3 peratus daripada pengeluaran getah asli 
dunia, maka negara tidak mempunyai kemampuan untuk mengawal harga getah asli. 

"Justeru, beberapa inisiatif bagi mengurangkan dampak ketidakstabilan harga getah dan menstabilkan pendapatan 
pekebun kecil getah telah dilaksanakan oleh Kerajaan," katanya menjawab pertanyaan-pertanyaan Ahli Parlimen semasa sesi Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini hari ini. 

Pertanyaan-pertanyaan itu dibangkitkan oleh Yang Berhormat (YB) Temerloh, YB Puncak Borneo, YB Kubang Kerian, YB 
Tenom, YB Sik, YB Kubang Pasu, YB Betong, YB Jerantut, YB Baling, YB Kota Belud, YB Jempol, YB Kuala Krau dan YB Padang Terap yang membangkitkan isu berkaitan harga getah dan pekebun kecil getah dan perkara berkaitan. 

Mengulas lanjut inisiatif itu, Fadillah berkata, pertama, kerajaan telah memperkenalkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 yang 
bertujuan untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan mereka terus menoreh.

Jelasnya, melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering - KGK) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram. 

"Sejak pelaksanaan IPG pada September 2015 sehingga 31 Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 210, 000 pekebun kecil di seluruh negara dengan nilai 
pembayaran berjumlah RM448 juta," katanya. 

Menurutnya lagi, inisiatif kedua pula, bagi membantu menstabilkan pendapatan 
pekebun kecil dan memenuhi keperluan industri hiliran berasaskan lateks, Kerajaan juga melaksanakan program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). 

Katanya, program IPL diwujudkan untuk memberi peluang kepada pekebun 
kecil getah bagi menambah pendapatan dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump). 

Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, katanya, 
mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00/kg sekilogram bagi 100 peratus KGK. 

"Para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850.00 bagi 
setiap hektar secara one-off," ujarnya. 

Selain daripada IPG dan IPL, beliau memberitahu, kerajaan melalui Kementerian telah melaksanakan Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET). 

"TARGET ini dilaksanakan melalui konsep koperasi pekebun kecil dan pengusaha ladang getah tempatan bertujuan untuk 
meningkatkan pendapatan secara kluster pekebun kecil getah melalui penjualan getah krip. 

"Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan 
pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil," jelasnya. 

Justeru, katanya, Kementerian melalui langkah-langkah yang telah dilaksanakan 
diharap akan memberi impak positif terhadap permintaan getah asli, seterusnya meningkatkan harga getah yang sudah tentu akan memberikan pulangan yang lebih baik kepada 
pekebun kecil.

Mengenai, isu mengenai kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram yang dianggap terlalu kecil, dan cadangan agar IPG dinaikkan kepada RM3.50 dan mengenai mekanisma pelaksanaan IPG pula, Fadillah berkata, semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari yang lalu, Perdana Menteri telah 
mengumumkan bahawa bagi sektor getah, Kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan PHP IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan jumlah peruntukan 
RM350 juta. 

Jelasnya, kenaikan PHP IPG pastinya akan memberi impak kewangan yang besar kepada Kerajaan. 

"Sebagai contoh, kenaikan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram sahaja memerlukan 
peruntukan lebih RM900 juta," katanya.
Next Post Previous Post