Prototaip ART siap dipasang, sedang diuji

KUCHING-- Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) mencapai satu lagi kejayaan besar dengan siapnya pemasangan prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen di Zhuzhou, China.

Menurut kenyataan media Sarawak Metro Sdn Bhd hari ini, ART itu kini sedang menjalani ‘Proof-of-Concept’ (POC) peringkat pertama sehingga pertengahan Mac ini.

Berikutan itu, kata kenyataan itu, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin bersama rombongan dari Sarawak telah melakukan lawatan untuk memeriksa prototaip yang baharu siap di fasiliti CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd, China pada Isnin lepas.

Dalam lawatan itu, Lee bersama rombongan sempat meluangkan masa untuk menaiki ART tersebut selama hampir sejam. 

Delegasi ke China itu terdiri daripada wakil Kementerian Pengangkutan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Metro Sdn Bhd.

Antaranya, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa dan Pegawai Bertanggungjawab Sarawak Metro, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Awang Nasfuddin Awang Hassan.

Dalam pada itu, Lee menegaskan projek ini penting, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk syarikat China yang merupakan anak syarikat milik penuh CRRC Corporation Limited.

Jelasnya, ia adalah projek baharu dan penting bagi pihaknya dan untuk (CRRC Zhuzhou Institute) kerana ia akan membuka peluang untuk mempamerkan kejayaan teknologi ini luar dari China.

“Saya percaya anda akan dapat memanfaatkan kejayaan Projek KUTS untuk menunjukkan kepada negara lain faedah menggunakan teknologi ini untuk bandar mereka,” tegas beliau.

Pada masa yang sama beliau turut menekankan kepentingan Projek KUTS sebagai projek perintis untuk kedua-dua Sarawak dan CRRC Zhuzhou Institute di luar China. 

"Justeru, saya mengharapkan kerjasama selanjutnya dapat dijalinkan pada masa hadapan.

"Berikutan peringkat awal latihan POC di China, peringkat kedua latihan POC untuk kenderaan ART ini akan dijalankan di Kuching menjelang suku ketiga tahun ini," ujarnya. 

Prototaip kenderaan ART untuk latihan POC ini berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi dan boleh mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam selain mempunyai kapasiti 241 penumpang.
Next Post Previous Post