Hanya boleh tanam 6.5 juta hektar sawit - Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR-- Kerajaan Malaysia telah menetapkan had kawasan penanaman sawit sebanyak 6.5 juta hektar di seluruh negara, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN2030). 

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sehingga Disember 2022, kawasan penanaman sawit di Malaysia adalah seluas 5.67 juta hektar. 

"YB Temerloh dan YB Seputeh yang telah membangkitkan isu berkaitan penebangan hutan yang tidak terkawal untuk penanaman kelapa sawit. 

"Merujuk kepada persoalan ini, Skim Pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil
(MSPO) telah menetapkan tarikh akhir bagi penyahhutanan pada 31 Disember 2019, dan sebarang penanaman kelapa sawit yang menyebabkan penyahhutanan, ditanam di kawasan hutan / hutan simpan dan kawasan nilai konservasi tinggi lain dilarang sama sekali. 

"Ini adalah selaras dengan DAKN2030 yang mengutamakan kemampanan industri agrikomoditi," katanya menjawab pertanyaan-pertanyaan Ahli Parlimen semasa sesi Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini hari ini. 

Tambah Fadillah, empat dasar utama yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri berhubung penanaman sawit pada tahun 2019 adalah mengehadkan keluasan penanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar sahaja bagi seluruh negara. 

Selain itu, katanya melaksanakan larangan penanaman baharu sawit di atas kawasan baharu tanah gambut serta melaksanakan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang lebih mampan dan penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit di seluruh 
negara untuk capaian umum.

"Untuk makluman, dasar-dasar ini masih lagi terpakai dan merupakan sebahagian daripada DAKN 2030 yang telah dilancarkan pada tahun 9 Mac 2022.

Berhubung status pemetaan kawasan penanaman sawit pula, Fadillah memberitahu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang dalam proses membangunkan sistem pemetaan kawasan penanaman sawit di seluruh Malaysia yang mengandungi maklumat berkaitan litupan penanaman sawit untuk capaian umum. 

Projek ini katanya, dijangka akan selesai dibangunkan sebelum akhir tahun 2024.

Merujuk kepada cadangan YB Sembrong agar Kerajaan menggiatkan usaha meningkatkan eksport minyak sawit, beliau berkata, Kementerian dan agensi terlibat akan terus berusaha untuk meneroka peluang pasaran baharu seperti Benua Afrika, negara Timur Tengah dan Benua Amerika selain memperkukuhkan pasaran sedia ada di Pakistan, Turki dan negara-negara ASEAN. 

"Kementerian dan agensi turut terlibat dengan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersifat dua hala, pelbagai hala dan serantau bagi meningkatkan akses pasaran, seterusnya meningkatkan 
penggunaan minyak sawit dalam kalangan pengguna di negara-negara pengimport. 

"Malaysia dan Indonesia turut bekerjasama menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar 
Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries - CPOPC) bagi memantapkan lagi amalan persekitaran mampan, pengurusan bekalan, aktiviti promosi dan pembangunan pekebun-pekebun kecil," ujarnya.
Next Post Previous Post