Buta huruf, tiada warganegara

MIRI— Sudahlah buta huruf, seorang ibu muda berdepan masa depan yang gelap kerana tidak mempunyai kerakyatan.

Apa yang menyedihkan, episod ini mungkin berulang selepas anaknya tidak diterima masuk ke sekolah, kerana tidak mempunyai status kewarganegaraan.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR) Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, hanya suami kepada wanita itu yang berstatus warganegara.

“Sedangkan si ibu dan dua anak yang berbangsa Iban tidak mempunyai status kerakyatan. 

“Ini menyebabkan anak sulung perempuan mereka tidak diterima ke sekolah sesi 2021 hingga 2022 tercicir dan tercicir Tahun 1,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, empat sekeluarga tersebut datang berjumpa Abun sejurus tiba dari Kuala Lumpur untuk urusan yang sama menghantar dokumen permohonan kewarganegaraan.

“Mereka memohon pertolongan agar anak sulung mereka dapat masuk ke sekolah.

“Ibu muda ini juga buta huruf, mungkin kesan tidak dibenarkan ke sekolah kerana ketiadaan taraf warganegara dan kini masalah ini diwarisi anak-anak,” katanya.

Abun menambah, pihaknya akan sedaya upaya untuk membantu bagi memastikan kanak-kanak tersebut dapat memasuki sesi persekolahan ini.
Next Post Previous Post