Malaysia sokong usaha hapuskan buruh paksa dalam sektor sawit- Fadillah

KUCHING-- Kementerian Perladangan dan Komoditi menyambut baik Projek Sawit Positif Rakyat (Projek P3) dalam usaha menyokong syarikat dalam sektor minyak sawit menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan dan operasi mereka. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Human Rights Due Diligence (HRDD) tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai kelebihan.

"Ini untuk perniagaan memimpin melalui teladan, meningkatkan daya tahan mereka, dan menjamin keboleheksportan produk mereka secara global dan menjangkakan gangguan pasaran semasa krisis.

"Saya berharap sektor minyak sawit, melalui pendekatan perniagaan yang pragmatik terhadap HRDD, akan menangani punca buruh paksa dengan cara yang mampan dan berstruktur, dan merangka hala tuju yang betul sejak awal adalah amat penting," katanya ketika berucap semasa merasmikan siri bengkel Projek P3 hari ini.

Jelas Fadillah, sektor minyak sawit Malaysia telah diteliti sejak beberapa tahun kebelakangan ini berkaitan dengan amalan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia.

Tambahnya, ini mendorong banyak syarikat yang beroperasi di negara ini untuk menerima pakai amalan perniagaan yang inovatif dan bertanggungjawab.

"Sehubungan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Forum Barangan Pengguna (CGF), Gabungan Hak Asasi Manusia (HRC), Fair Labor Association (FLA), dan International Organization on Migration (IOM) atas peranan penting mereka dalam melaksanakan Projek P3 melalui tindakan kolektif yang bertujuan menghapuskan buruh paksa daripada industri minyak sawit Malaysia," ujarnya.

Mengenai bengkel itu, beliau memberitahu ia platform untuk menghimpunkan para pemain dalam sektor terlibat untuk mengubah pasaran buruh Malaysia dan menghapuskan
buruh paksa dari sektor minyak sawit negara. 

"Saya berharap minyak sawit sektor, melalui pendekatan perniagaan pragmatik kepada HRDD, akan menangani punca buruh paksa secara mampan dan berkesan," ujarnya.
Next Post Previous Post