Ketirisan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta: KDN beri ruang sepenuhnya untuk SPRM siasat-Saifuddin

KUALA LUMPUR-- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan sepenuhnya ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung ketirisan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersifat terbuka dalam memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawai di kementerian itu.

"SPRM bebas untuk melakukan apa saja bentuk siasatan bersesuaian dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk menyiasat pegawai KDN.

"Bagi saya yang menerajui KDN, itu adalah ruang tugas dan ruang tanggungjawab SPRM," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tambah Saifuddin, SPRM harus diberikan ruang seluasnya untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Baru-baru ini, SPRM membongkarkan penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian apabila empat individu ditahan bagi membantu siasatan.

Keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang pada 14 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Berikutan itu, tiga daripada empat suspek telah direman selama tiga hari bermula 15 Mac sehingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 15 Mac lalu. 

Manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga telah mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, sumber mendedahkan, suspek-suspek berkenaan merupakan Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

Jelas sumber, sukuk tersebut telah diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek tersebut perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan. 

"Walau bagaimanapun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk," ujar sumber.

Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik telah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun. 

Sukuk ini dijangkakan mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.
Next Post Previous Post