CPOPC, pemain industri sawit Malaysia, Indonesia sumbang 102,000 GS kepada Honduras

KUALA LUMPUR-- Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bersama-sama pemain industri dari 
Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 102,000 biji benih bercambah kelapa sawit (GS)
kepada Honduras yang dilanda bencana ribut taufan Eta dan Iota pada November 2020. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sumbangan itu adalah susulan permohonan daripada Secretary of State in Dispatch of Agriculture and Livestock of the Republic of Honduras (SAG) kepada Ketua Setiausaha CPOPC.

"CPOPC dan pemain industri Indonesia masing-masing menyumbang sebanyak 20,000 dan 62,000 GS. 

"Manakala Malaysia melalui Minamas 
Plantation menyumbang sebanyak 20,000 GS. 

"Sumbangan ini dijangka akan membantu pekebun-pekebun kecil sawit di Honduras untuk membina semula hidup mereka yang telah terkesan akibat bencana ribut taufan 
tersebut," katanya menerusi kenyataan media Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini. 

Jelas Fadillah, proses penghantaran GS ini dilakukan melalui udara dari Jakarta, Indonesia dan dijangka akan mendarat di San Pedro Sula, Honduras pada 27 Mac 2023. 

Beliau yang juga Pengerusi CPOPC, memberitahu sumbangan itu melambangkan kerjasama erat di antara negara-negara pengeluar minyak sawit. 

"Sumbangan ini juga merupakan satu 
pengiktirafan kepada Honduras yang kini telah memuktamadkan proses 'accession' dan dijangka menjadi negara ke-3 ahli penuh CPOPC pada bulan Mei 2023," jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau berharap usaha ini akan membantu memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ahli-ahli CPOPC.

Terdahulu, di Parlimen, Fadillah menerima kunjungan hormat Duta Besar dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Tuan Yang Terutama (TYT) Michalis Rokas. 

Antara isu yang dibincangkan semasa pertemuan berkenaan ialah pengukuhan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah dalam pelbagai bidang, khususnya sektor perladangan.

"Saya turut mengulangi komitmen Malaysia menjadikan industri minyak sawit negara lebih mampan dan mesra alam selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDGs)," ujarnya. 
Next Post Previous Post