Kurang arif kehakiman, perundangan adat punca kes Mahkamah Bumiputera lambat selesai

Gerawat (kiri) menerima cenderamata daripada Michael selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kes bagi Mahkamah Bumiputera Sarawak hari ini.

MIRI— Jumlah kes yang belum diselesaikan oleh Mahkamah Bumiputera Sarawak membimbangkan Kerajaan Negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, daripada keseluruhan 16,877 kes yang difailkan di seluruh negeri, 5,950 atau 35.3 peratus masih belum diselesaikan, kebanyakan melibatkan pampasan tanah.

Beliau berkata, kes ini termasuk yang difailkan di bawah Mahkamah Ketua Kampung, Mahkamah Penghulu dan Mahkamah Pemanca di bawah selian Pejabat Daerah selaku Pendaftar Mahkamah.

“Jumlah kes yang dikategorikan belum selesai di beberapa peringkat Mahkamah Bumiputera merisaukan. Dalam tempoh lebih tiga tahun, Pendaftar Mahkamah, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah bergembleng tenaga mengurangkan jumlah kes yang tertunggak.”

“Satu masalah berterusan yang dihadapi ialah kelewatan perbicaraan di Mahkamah Bumiputera kerana Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Pegawai Daerah (DO) dan Residen semakin menumpukan peranan pentadbiran dan pembangunan, manakala kehakiman menjdi peranan kedua.”

“Selain itu ramai di kalangan mereka ini tidak dilatih secukupnya dalam kehakiman dan pentadbiran undang-undang adat tidak seperti kumpulan terdahulu yang wajib lulus peperiksaan undang-undang di Mahkamah Bumiputera, Undang-undang Adat Bumiputera dan Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Gerawat berucap pada Seminar Pengurusan Kes bagi Mahkamah Bumiputera Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pendfatar Mahkamah Bumiputera Sarawak Datu Michael Dawi Alli.
Next Post Previous Post