Dua bekas calon PH Sarawak PRU15 antara 16 Senator angkat sumpah Ahli Dewan Negara

KUALA LUMPUR-- Dua bekas calon Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu hari ini antara 16 Ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mereka, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abun Sui Anyit dan Setiausaha DAP Cawangan Sarikei Roderick Wong Siew Lead.

Pada PRU15 lalu, Abun yang menentang calon GPS Datuk Wilson Ugak Kumbong kalah dengan majoriti 7,505 undi.

Manakala Roderick yang meraih 16,383 undi pula tewas kepada Dato Sri Huang Tiong Sii yang meraih 20,080 undi dengan majoriti 3,697 undi.

Selain Abun dan Roderick, 14 lagi Ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah Abdul Nasir Idris, Setiausaha PAS Kedah Musoddak Ahmad, Dr A. Lingeshwaran, Amir Ghazali, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman, Isaiah D Jacob mewakili WP Kuala Lumpur, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Datuk Sivaraj Chandran, Mohd Hasbie Muda dan Noorita Sual. 

Sementara itu, Manolan Mohamad merupakan Ahli Dewan Negara lantikan semula oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini manakala Presiden Yayasan Amal Malaysia Hussin Ismail merupakan pilihan DUN Terengganu mewakili negeri itu bermula 15 Mac lepas. 

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan 16 Ahli Dewan Negara itu menyeru setiap Ahli Dewan Negara yang dilantik agar memainkan peranan dan menggembleng tenaga dalam menyemarakkan Rukun Negara selain patuh dengan Perlembagaan negara.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.