Malaysia komited pelihara hutan, jaga kesihatan manusia-Fadillah

KUCHING-- Malaysia akan terus komited memelihara hutan bagi menjaga kesihatan manusia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, ini bertepatan dengan tema “Hutan dan Kesihatan” bagi Hari Hutan Antarabangsa 2023. 

Katanya, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Kayu Sedunia disambut pada 21 Mac setiap tahun.

"Dengan tema ini, Malaysia akan terus komited memelihara hutan bagi menjaga kesihatan manusia memandangkan hutan adalah sumber utama air dan udara bersih, serta penyerap karbon utama bagi menangani perubahan iklim," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini bersempena sambutan itu. 

Tambah Fadillah, Sambutan Hari Kayu Sedunia pula bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kayu dalam dunia yang mampan melalui konservasi hutan dan biodiversiti demi kelestarian alam. 

"Ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

"Justeru, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) khususnya melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus mengusahakan yang terbaik untuk industri kayu-kayan yang mampan di Malaysia," tegasnya. 

Selain itu, beliau memberitahu amalan pensijilan kayu mampan menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus diberikan keutamaan.

"Kerajaan akan terus memelihara hutan serta komited memperkasa sektor industri kayu kayan dalam negara dan meningkatkan nilai eksport untuk pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.
Next Post Previous Post