Kerajaan komited pastikan pemeliharaan hutan lebih 50 peratus dicapai-Fadillah

KUALA LUMPUR-- Kerajaan komited dalam memastikan tahap pemeliharaan hutan melebihi 50 peratus dapat dicapai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebab itu kerajaan sentiasa berpegang teguh terhadap hasrat tersebut dan ia turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri yang menyatakan pendirian untuk tidak membenarkan penebangan hutan berskala besar bagi penanaman komoditi seperti kelapa sawit.

"Ini dilaksanakan dengan mengehadkan kelulusan maksimum untuk penanaman komoditi sebanyak 6.5 juta hektar bagi seluruh negara.

“Bagaimanapun setakat ini penanamannya hanya lebih kurang sebanyak 5.8 juta hektar, maknanya masih di bawah apa yang telah diluluskan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) di Bangunan Parlimen, baru-baru ini.

Menteri Perladangan dan Komuniti itu menjelaskan program penanaman semula pokok-pokok turut giat dilaksanakan pada masa ini termasuk melalui penubuhan hutan komuniti.

“Komuniti boleh menanam pokok yang mungkin boleh digunakan untuk komoditi yang lain khususnya perabot dan sebagainya namun hutan simpan kekal akan tetap kita pelihara,” jelasnya.

Mengenai Penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) Fadillah berkata ia diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri merupakan antara resolusi yang dicapai pada mesyuarat pertama MBN1 hari ini.

Penubuhan MBC itu jelasnya, bertujuan untuk meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan seterusnya merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, Sarawak turut komited dalam merealisasikan hasrat tersebut yang mana setakat ini Sarawak dilitupi 7.65 juta hektar hutan atau 61.4 peratus daripada keseluruhan keluasan Sarawak.


Jelas beliau, ini menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 bertajuk Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, Aktiviti Kementerian/ Agensi dan Pengauditan Pematuhan Kementerian / Agensi Negeri yang dikeluarkan pada 6 Januari 2023.

"Laporan berkenaan telah merumuskan hutan di Sarawak telah diurus secara berkekalan bagi memberi manfaat sosioekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar. 

“Kelestarian alam sekitar menjadi agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak maju menjelang 2030,” katanya.

Tegasnya, ini sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Sarawak akan kehilangan lebih banyak kawasan hutan.

"Kenyataan itu adalah berdasarkan persepsi melihat kepada trend semasa pembukaan kawasan tanah untuk pembangunan. 

“Kita tidak menafikan bahawa Sarawak sedang pesat membangun menuju ke arah negeri maju menjelang 2030. 

“Memang terdapat kawasan tanah yang dibuka untuk tujuan pembangunan pelbagai sektor seperti pertanian, pembukaan bandar dan perumahan, industri dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah Hamden, Sarawak berusaha untuk mengimbangi pembangunan ini dengan kelestarian alam sekitar, lebih-lebih lagi dalam mengekalkan kawasan hutan.

Jelasnya lagi, ‘Sarawak Land Use Policy 2012’ menetapkan tujuh juta hektar untuk tujuan guna tanah perhutanan iaitu hutan simpan kekal (enam juta hektar) dan bagi tujuan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (sejuta hektar).
Next Post Previous Post