Lelaki maut, kereta dipandu rempuh pokok

KUCHING: Seorang lelaki menemui maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Perindustrian Demak Laut di Sejingkat pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya mengesahkan, mangsa yang merupakan lelaki berusia 21 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM yang turut berada di lokasi.

Menurutnya, sepasukan anggota BBP Tabuan Jaya bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 9.53 pagi.

Katanya, setelah size-up dilakukan, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa lelaki dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. 

"Pasukan bomba bertindak membuka pintu hadapan sebelah kiri dan mengeluarkan mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas rescue tools," ujarnya. 

Bagaimanapun jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan KKM.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post