Projek "nazak" di Sarawak tanggungjawab kerajaan, bukan hanya kontraktor tidak cekap--Abun

KUCHING-- Isu projek "nazak" di Sarawak sememangnya tanggungjawab kerajaan bukan hanya memberi alasan dan menyalahkan kontraktor yang tidak cekap.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, sepatutnya kerajaan menilai dan menyemak dengan teliti kontraktor yang dilantik sebelum diberikan tugas melaksanakan sesebuah projek kerajaan. 

"Saya sangat kecewa apabila beberapa projek di dalam Parlimen Hulu Rajang tidak siap-siap. 

"Antara yang tidak siap ikut jadual seperti Klinik Kesihatan Long Busang, jalan Jiwa Murni dari Belaga ke Merit antara lain.

"Kelewatan ini diakui oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmian Seminar "Memperkasakan Industri Pembinaan di Sarawak" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu lalu). 

"Mendengar alasan yang diberikan iaitu kontraktor tidak cekap, persoalannya, siapa yang melantik kontraktor-kontraktor ini, bukankah Kerajaan Sarawak? 

"Mengapa tidak semak betul-betul kebolehan kontraktor menyiapkan projek dalam masa dan kualiti sebenar," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Sehubungan itu, Abuh mencadangkan projek-projek yang mengalami kelewatan kritikal di Sarawak itu dilakukan audit forensik. 

"Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi, 
saya cadangkan agar projek-projek ini dilakukan audit forensik untuk mengetahui punca sebenar semua projek gagal dan lewat ini," tegasnya. 

Tambahnya, kerajaan juga boleh mendedahkan nama-nama kontraktor yang gagal ini supaya rakyat kenal mereka.

Pada Rabu lalu, Abang Johari memberitahu sebanyak 34 projek mengalami kelewatan kritikal di Sarawak dan jumlah itu daripada 215 projek dalam pembinaan yang sedang dilaksanakan di Sarawak setakat 27 Januari 2023.

"JKR Sarawak telah melaporkan kepada saya status pelaksanaan projek sekarang yang amat membimbangkan. 

"Sehingga 27 Januari 2023, daripada 215 projek dalam pembinaan, 34 projek mengalami kelewatan kritikal, 29 projek di belakang jadual dan 149 projek mengikut jadual," katanya.
Next Post Previous Post