Tuntutan palsu: Tiga pemilik syarikat ditahan reman oleh SPRM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pemilik syarikat bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu bagi sebut harga pembekalan kepada sebuah agensi Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM400,000.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 42 hingga 51 tahun itu disyaki membuat tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan kesihatan di daerah Sarikei, Sarawak bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2022.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Februari 2023 dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Frouline Anak Aging di Mahkamah Majistret Sarikei, Sarawak selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek dipercayai ditahan kira-kira jam 5.45 petang semalam, ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM cawangan Sibu, Sarawak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post