Pelekat "roadtax" mudah koyak, lupa bawa lesen memandu tidak lagi satu masalah

KUALA LUMPUR-- Pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu melekat pelekat lesen kenderaan motor atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax’ bermula hari ini. 

Perkara ini diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang memberitahu beliau sering menerima keluhan mengenai pelekat lesen kenderaan motor atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax’ mudah rosak. 

"Saya telah menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai 
mengenai pelekat lesen kenderaan motor atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax’ dan saya menghayati kesulitan yang telah dibangkitkan. 

"Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi meringankan kesulitan orang ramai melalui strategi 
pendigitalan. 

"Hari ini, sukacita saya mengumumkan bahawa kementerian akan melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor 
(LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian," katanya pada sidang media hari ini. 

Katanya, mulai 10 Februari 2023, pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan 
LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ 
di bawah satu projek perintis (secara in-house).

Jelasnya, untuk merealisasikan inisiatif pendigitalan tersebut, orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital. 

"Pendaftaran melalui portal awam JPJ
[https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh 
dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery," ujarnya. 

Tambahnya lagi dengan adanya aplikasi MyJPJ di hujung jari, pengguna dapat menyemak butiran semasa dan membuat paparan LKM Digital dan LMM Digital apabila keadaan memerlukan.
Next Post Previous Post