SPRM Bongkar Sindiket Rasuah Pengagihan Kuota Tiket Penerbangan Umrah

PUTRAJAYA 10 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Menurut sumber, enam individu terdiri daripada pengarah serta kakitangan
syarikat pelancongan melibatkan enam buah syarikat telah ditahan SPRM dalam operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, petang semalam.

Sumber berkata, sebuah syarikat terbabit telah dilantik oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai agen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah. 

Modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah. Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak 2018 lagi. Dikatakan sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.

Tambah sumber berkenaan, baru-baru ini, timbul isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana terdapat sindiket yang memonopoli kuota tiket dan penjualan tiket dengan harga yang tinggi.

"Agensi-agensi pelancongan umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan kuota jemaah mereka mendapatkan tempat duduk penerbangan. Ini merupakan antara faktor kenapa harga tiket penerbangan umrah tinggi," katanya.

Susulan itu, keenam-enam suspek kini ditahan reman selama 4 hari bermula 10 hingga 13 Februari bagi siasatan lanjut.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan permohonan tersebut selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM
Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka akan lebih ramai ditangkap bagi membantu siasatan.
Next Post Previous Post