Parlimen Stampin, Bandar Kuching tawar RM1,500 masuk universiti, kolej

KUCHING-- Tabung Bantuan Pendidikan Tertiari Parlimen Stampin dan Bandar Kuching dilancarkan hari ini.

Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, tabung tersebut bertujuan membantu penuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

"Permohonan kini dibuka kepada penuntut yang pertama kali melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dan diploma.

"Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan Mykad beralamat di Parlimen Stampin atau Bandar Kuching," katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii hari ini.

Katanya, pemohon yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM1,500 setahun, dan tertakluk kepada peruntukan yang ada.

"Pemohon boleh memohon kali kedua atau ketiga pada tahun berikutnya namun ia tertakluk kepada peruntukan," katanya.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, syarat lain permohonan adalah pendapatan kedua-dua ibu bapa tidak melebihi RM7,000 sebulan.

Permohonan hendaklah disertakan dokumen iaitu salinan MyKad pemohon dan kedua-dua ibu-bapa, nombor telefon dan emel untuk dihubungi serta surat tawaran kemasukan ke universiti atau kolej.

Selain itu, pemohon diminta mengemukakan salah satu dokumen berikut; penyata gaji, penyata cukai atau penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibu-bapa

"Bagi penuntut yang kini sedang mengambil ijazah atau diploma, pemohon boleh melampirkan transkrip pencapaian pada semester yang lalu.

Borang boleh didapati di pejabat 
Chong Brothers Advocate atau Ibu pejabat DAP Kuching.

"Kita menjangkakan ratusan pemohon akan memohon bantuan ini," katanya sambil menambah pihaknya melakukan yang terbaik untuk membantu.
Next Post Previous Post