Sarawak batalkan cukai SST tayar - Abang Jo

KUCHING— Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan cadangan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas tayar dibatalkan.

Beliau membawa khabar gembira ini ketika berucap di majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pergabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS). 

Katanya kerajaan Sarawak akan mencari formula bagi menguruskan tayar terpakai secara mesra alam, namun begitu beliau menggesa Dewan Perniagaan Cina melabur dalam teknologi mengitar semula tayar terpakai untuk membuat jalan raya. 

"Getah (tayar) ini jika dipecahkan akan menjadi palet dan palet tersebut boleh digunakan untuk membuat jalan raya, jadi carilah jalan untuk membuatnya," saran beliau.

Cadangan mengenakan cukai itu menjadi isu panas sepanjang kempen PRU15 yang menyaksikan GPS gagal mengekalkan prestasi cemerlang PRN12 kerusi bandar apabila calonnya tumbang di Kuching, Stampin, Lanang, Miri dan Sibu, tetapi menang di Sarikei dan Bintulu. 

"Kita sudah hapuskan SST jadi saya mahu mereka(ACCCIS) berinovasi kerana saya tidak mahu tayar ini akan mencemarkan alam sekitar,"katanya. 

Abang Johari turut mengumumkan bahawa pihaknya telah meminda denda yang dikenakan kerana lambat membayar cukai tanah (quit rent).

"Dahulu sekiranya lambat membayar cukai tanah, akan dikenakan 50 peratus denda sekarang kami telah memindanya kepada hanya lima peratus tetapi akan ada dikenakan kompaun. Sama seperti bank tetapi kurang daripada 50 peratus," katanya. 

Turut hadir, isteri kepada Premier Sarawak, Datin Patinggi Juma'ani Tuanku Bujang Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian bersama isterinya, Datin Sri Enn Ong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang.
Next Post Previous Post