Penduduk sengsara hidup 20 tahun "hidup" menghirup udara busuk dari kawasan pelupusan sampah Lambir

MIRI -- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan digesa segera menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran air di kawasan parit berhampiran Sekolah Tunas Bakti Miri (STB) dan kawasan sekitarnya.

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Penghulu Randi Elon, bau yang tidak menyenangkan dan pencemaran air parit telah menghantui bukan sahaja penghuni STB, malah penduduk Kampung Desa Jaya dan Penjara Lambir hampir 20 tahun sejak kawasan tapak pelupusan sampah Lambir itu wujud.

Malah, katanya, beratus aduan telah diutarakan kepada pihak berwajib agar menyelesaikan kemelut itu dengan segera, namun ia umpama mencurah air ke daun keladi.

"Kita mohon pihak PBT agar memindahkan kawasan pelupusan sampah tersebut pada kadar segera kerana bau busuk dan keadaan air parit berdekatan kawasan sekolah tersebut sudah semakin 'tenat," ujarnya ketika ditemui.

Katanya, pihak Jabatan Alam sekitar juga perlu melakukan analisis atau meletakkan alat mengesan tahap kualiti udara atau air di kawasan tersebut bagi mengetahui paras pencemaran di situ.

"Kepada pihak PBT, kita faham proses memindahkan kawasan pelupusan sampah ini bukan perkara yang mudah, namun kita berharap satu langkah segera dapat dilakukan misalnya kerja-kerja penyelenggaraan dibuat terhadap parit berhampiran yang sudah tercemar akibat sisa-sisa kumbahan dari kawasan pelupusan sampah tersebut," jelasnya.

Randi berkata, situasi bau yang kurang menyenangkan itu juga telah menyebabkan penduduk Kampung Desa Jaya keberatan untuk mengadakan majlis keramaian kerana ia mengundang 'komuniti' lalat.

"Bau yang kurang enak sudah pasti mengundang lalat, ini menyebabkan penduduk di situ berasa tidak selesa tiap kali hendak mengadakan majlis keramaian," ujarnya 

Pada Januari 27 yang lalu, Menteri Pembangunan Wanita ,Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato Nancy Shukri bersama Menteri Kesihatan Malaysia Lukanisman Awang Sauni mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Tunas Bakti.

Kedua-dua menteri tersebut menggesa pihak PBT agar memindahkan kawasan pelupusan sampah tersebut dengan segera.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.