Penduduk mengeluh, jalan sempadan Malaysia dan Brunei di Sungai Tujoh sesak

MIRI— Penduduk yang tinggal berhampiran persempadanan Malaysia - Brunei di Sungai Tujoh, Kuala Baram keresahan dihantui masalah kesesakan jalan raya.

Pembukaan sempadan sejak Ogos lalu menyebabkan kehidupan harian mereka berubah 180 darjah.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 450 penduduk di Kampung Masjid, Kampung Mempelam dan Rumah Bangau merungut setiap kali melalui laluan berkenaan.

Mereka tiada pilihan kerana itu sahaja laluan yang mereka ada untuk menghantar anak ke sekolah, pergi ke pusat bandar untuk bekerja selain urusan harian.

Sebelum ini, penduduk kampung mendakwa tersekat hampir tiga jam dari kawasan tol hingga ke hujung Jambatan Asean bersama ratusan kenderaan pendaftaran negara Brunei.

Ketua Kaum Kampung Masjid, Yusree Zainuzzaman berkata, kesesakan itu berlaku bermula dari jam 5 petang hingga 9 malam, setiap Jumaat dan Ahad.

““Pada masa kini, laluan dari sempadan Malaysia ke sempadan Brunei hanya ada satu lorong menyebabkan ia tidak mampu menampung aliran tinggi trafik.

Ini menyebabkan kesesakan kritikal dari hujung Jambatan Asean hingga ke kawasan tol,” katanya ketika ditemui Borneo Network hari ini.

Yusree berkata, walaupun kerajaan membenarkan penggunaan lorong kecemasan untuk penduduk kampung, namun ia hanya penyelesaian jangka pendek.

“Kerajaan harus mempertimbangkan pembinaan lorong tambahan bagi melancarkan sistem trafik di laluan itu,” katanya.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin yang meninjau tol di Jambatan Asean hari ini berkata, beliau sudah mengarahkan pengendali tol dan agensi berkaitan seperti kastam dan imigresen membenarkan penggunaan lorong kecemasan untuk kenderaan tempatan.

“Saya juga mencadangkan pemasangan papan tanda besar supaya pemandu dari jauh nampak lorong mana untuk kenderaan Malaysia dan kenderaan asing.

Selain itu kementerian akan berbincang dengan pihak Kastam dan imigresen untuk memperkasa kemudahan di Sungai Tujoh termasuk penggunaan sistem elektronik selain penambahan lorong,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kemasukan pelawat pada hari biasa sekitar 1,000 orang manakala 3,000 pada hujung minggu dan cuti umum.

Kami sertakan peningkatan mendadak pelawat memasuki Sarawak sepanjang tahun 2023 semenjak sempadan antara Malaysia - Brunei dibuka. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.