Malaysia kesal EU diskriminasi produk sawit - Fadillah Yusof

KUCHING: Komitmen Malaysia tidak pernah berubah untuk memenuhi syarat penanaman pokok kelapa sawit secara mampan, malah ia akan terus dipertingkatkan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berita Harian Online melaporkan Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu bagaimanapun seolah-olah tidak diberi perhatian apabila produk sawit terus didiskriminasi, khususnya dalam kalangan Kesatuan Eropah (EU).

Justeru, Kementerian Perladangan dan Komoditi - KPK berharap EU bersikap lebih terbuka dengan mengiktiraf usaha negara pengeluar produk sawit yang selama ini komited dan menggunakan garis panduan diterima pakai blok itu.

"Malaysia memang komited mematuhi standard dunia, dan kita sudah memperkenalkan banyak undang-undang baharu (berhubung amalan pertanian mampan).

"Begitu juga dengan pembangunan kemampanan (perladangan sawit). Kita sudah membangunkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO), iaitu standard kita sendiri yang menjamin minyak sawit kita adalah mampan dari segi semua amalannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Saringan Kanser 2023 Peringkat Parlimen Petra Jaya, di Klinik Kesihatan Petra Jaya, di sini, Sabtu.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sekatan dilakukan EU terhadap produk sawit dilihat sebagai lebih kepada diskriminasi yang berkemungkinan ada niat untuk melindungi hasil mereka sendiri.

"Apabila EU memperkenalkan satu lagi peraturan baharu, ia seolah-olah menyekat pengeluaran produk kita.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) pun sudah bercakap dengan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier (yang dalam rangka lawatan ke negara ini) untuk menyokong kita supaya EU melihat kembali peraturan itu agar ia dapat diambil kira oleh negara kita dan negara pengeluar produk sawit yang lain seperti Indonesia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga sudah berbincang dengan Indonesia untuk membawa isu sekatan EU itu ke peringkat ASEAN.

Malah pada Mei depan, katanya, Malaysia dan Indonesia akan membentangkan di Parlimen Eropah, mengenai MPSO yang sudah dibangunkan Malaysia dan langkah dilaksanakan Indonesia dalam menjamin kemampanan penanaman pokok kelapa sawit.

"Kita berharap, janganlah mereka (EU) menganaktirikan apa yang kita sudah bangunkan itu dan usaha kita untuk mematuhi standard dunia," katanya.
Next Post Previous Post