Anak tempatan jadi keutamaan Kerajaan Sarawak- Gerawat Gala



MIRI--Anak Sarawak diberi jaminan mengisi kekosongan jawatan di dalam sektor carigali minyak dan gas asli di negeri ini, ujar Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
"Sejajar dengan kuasa autonomi imigresen, hak tanah dan laut Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963(MA 63) kita mempunyai kuasa dalam membuat kelulusan permit kerja dan mengawal kemasukan tenaga pekerja orang bukan anak tempatan (Sarawak)," katanya pada Sabtu.
Berucap pada majlis pelancaran ekspo kerjaya anjuran Persatuan Pekerja Minyak dan Gas Sarawak (Sogwa) 2023 di Myy Mall Lutong ,Miri, Gerawat memberi jaminan bahawa keutamaan diberikan kepada anak tempatan Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan di dalam industri gas dan minyak di negeri ini.

Gerawat berkata, ini bagi memastikan rakyat Sarawak mempunyai peluang pekerjaan di dalam negeri sendiri.
Tambahnya, kerajaan Negeri melalui beberapa inisiatif yang dilakukan menerusi strategi Pembangunan Pasca COVID 19 (PCDS)2030 merancang untuk mewujudkan peluang (pekerjaan) baharu yang menawarkan gaji tinggi.
Gerawat mengambil maklum kegusaran yang diluahkan presiden Sogwa, Jamal Abdullah @ Tedong Chakaw ketika lawatannya ke Kuching tahun lalu menyatakan terdapat segelintir majikan yang merekrut tenaga kerja bukan anak Sarawak ke dalam industri minyak dan gas.
"Percayalah, Kerajaan Negeri Sarawak amat komited melindungi anak tempatan dalam peluang pekerjaan di sektor minyak dan gas," jelasnya.
Gerawat berkata, untuk memastikan komitmen tersebut berjalan lancar, pihak Sogwa harus juga memainkan peranan dengan menyediakan pangkalan data kepada kerajaan bagi membolehkan pemantauan bilangan tenaga kerja yang tersedia untuk pasaran (sektor minyak dan gas) itu.
Sebanyak 16 syarikat minyak dan gas termasuk agensi lain mengambil bahagian dalam ekspo kerjaya dua hari anjuran Sogwa di Miri.
Pada majlis itu juga, Sogwa dan Sealestial Marine Seaferer Training Centre Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bertujuan untuk meningkatkan pembangunan kerjaya dalam segmen kompetensi pelaut.
Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam expo tersebut adalah Velesto Energy Berhad ; Oceancare Corporation Sdn Bhd ; Petra Resources Sdn Bhd ; Wehaya Sdn Bhd ; EJ Joint Venture Sdn Bhd ; Jusrite Construction & Services Sdn Bhd ; Magna-Mitre Sdn Bhd ; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Sarawak Skills Miri ; Asia Executive Training Centre (AeTC), M.I.W.T Global Resources Sdn Bhd , Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX) ; Pusat Latihan Maritim SriBima Sdn Bhd (Seamaster); TWI Technology (S.E Asia) Sdn Bhd dan Pelita MasLaut (Miri) Sdn Bhd.
Gerawat turut mengumumkan geran bernilai RM15,000 kepada Sogwa.
Turut hadir Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, Presiden Sogwa Jamal Abdullah @ Tedong Chakaw dan Pengarah Pusat Latihan Seaferer Laut Sealestial Sdn Bhd Kapten Kenneth Khoo.
Next Post Previous Post