Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching gempur judi: 20 individu termasuk warga asing diberkas di Gita

KUCHING-- Seramai 20 individu termasuk lapan warga asing ditangkap disyaki terlibat dalam menjalankan aktiviti judi secara tidak sah di sekitar bandar raya ini. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek terdiri daripada sembilan lelaki tempatan, tiga wanita tempatan, enam lelaki warga asing dan dua wanita warga asing diberkas dalam Op Dadu yang dijalankan bermula 30 Januari hingga 5 Februari 2023. 

Jelasnya, operasi itu dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di kawasan pentadbiran Balai Polis Gita. 

 "Sebanyak 17 operasi dijalankan semasa Op Dadu dari tempoh berkenaan yang menumpukan kawasan pentadbiran Balai Polis Gita. 

"Hasil Op Dadu ini, seramai sembilan lelaki tempatan, tiga wanita tempatan, enam lelaki warga asing dan dua wanita warga asing telah ditangkap atas kesalahan disyaki terlibat dalam menjalankan aktiviti judi secara tidak sah," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Tambah Ahsmon, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,837, 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa peralatan lain seperti keratan kertas tercatit id dan kata laluan serta pencetak mobile yang digunakan untuk menjalankan aktiviti judi secara tidak sah.

Jelasnya lagi, sebanyak 17 kertas siasatan telah dibuka iaitu di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi atas talian) dan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi loteri awam tanpa lesen). 

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang lima ribu ringgit dan tidak lebih dua ratus ribu ringgit dan hendaklah dikenakan penjara tidak lebih 5 tahun," tegasnya. 

Sehubungan itu, beliau memberitahu IPD Kuching amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah ini dengan menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.
Next Post Previous Post