Sempena Tahun Arnab, trafik di Kota Samarahan Expressway tidak lagi bergerak seperti kura-kura

KUCHING: Jika kura-kura merancang untuk mengalahkan arnab dalam perlumbaan di laluan Kota Samarahan Expressway, rancangan itu tidak akan berjaya.

Sepanjang tahun harimau kura-kura boleh memotong kereta Ferrari di jalan yang sentiasa sesak ini, namun pagi tadi semua itu nampaknya mulai berubah.

Pengguna jalan raya di laluan Expressway Samarahan tidak lagi menempuhi perjalanan yang penuh sesak hingga 3 jam untuk ke Kuching selepas persimpangan lampu isyarat di Bulatan Tabuan Tranquility beroperasi dan dibuka kepada orang awam hari ini.
Inilah yang dikongsi seorang pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan tengah hari tadi.


"Keadaan trafik di bulatan ini tengah hari tadi lancar dan mempermudahkan perjalanan dari Samarahan ke Kuching," katanya pengguna jalan raya itu dengan ringkas.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi kenyataan media hari ini berkata projek tersebut merupakan salah satu daripada lima persimpangan lampu isyarat di Kuching-Samarahan Expressway yang telah disiapkan.

“Kita mengubah lima bulatan di sini menjadi persimpangan lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik kedua-dua hala.

“Saya telah diberitahu kerja-kerja untuk empat lampu isyarat yang lain kini berjalan lancar dan akan siap menjelang akhir tahun,” katanya selepas menyempurnakan perasmian pembukaan pengoperasian lampu isyarat itu.

Katanya, dengan siapnya projek di bulatan itu, ia satu perkembangan yang sangat positif untuk empat lagi projek yang sama yang sedang dilaksanakan.

"Saya melihat pagi ini bagaimana ia telah membantu dalam melancarkan aliran trafik.
"Orang ramai yang menggunakan jalan raya itu setiap hari menantikan penyiapan projek ini dan empat lagi yang lain.

"Malah, saya sedia maklum bahawa sejak beberapa hari lalu, jumlah trafik di sepanjang Lebuh Raya amat berat sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk.

"Ini kerana beberapa jalan terpaksa ditutup bagi memudahkan proses naik taraf.

"Jadi saya mesti berterima kasih kepada pengguna jalan raya atas kesabaran mereka. Orang ramai faham bahawa tatkala kami membina empat persimpangan lampu isyarat yang lain, akan ada banyak gangguan dan kesulitan," jelasnya.

Perkara ini jelasnya, tidak dapat dielakkan dan justeru pihaknya memohon maaf.

"Tetapi tolong teruskan bersabar dengan kami. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menguruskan aliran (trafik),” ujar Uggah lagi.

Untuk rekod, keseluruhan pakej naik taraf bernilai RM72.7 juta telah diberikan kepada kontraktor penyelamat, Glumox Abiz Sdn., Bhd., selepas kontraktor pertama gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan.

Kontrak itu telah diberikan pada 11 Oktober tahun lepas.
LihatTutupKomentar