KPDN Sarawak rampas 13,000 liter minyak diesel


KUCHING--Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak merampas 13,000 liter minyak diesel bersama dengan peralatan dianggarkan berjumlah RM 30,000 dalam serbuan di stor tidak bernombor berdekatan di Lorong Sabor di sini, awal pagi tadi.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, serbuan jam 5.30 pagi itu dijalankan hasil risikan dan siasatan yang telah dibuat oleh pegawai Penguat Kuasa, KPDN Kuching sejak dua minggu lepas.
"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang disyaki penjaga stor simpanan minyak diesel bagi tujuan siasatan lanjut
"Suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang lesen atau permit khas atau surat kebenaran dari pengawal bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan," ujarnya.
Katanya, pegawai Penguat Kuasa KPDN Sarawak akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas mana-mana orang yang disyaki melakukan penyelewengan melibatkan barang kawalan di negeri ini.
Next Post Previous Post