Pergiatkan penggunaan media sosial untuk kembangkan Islam - Abang Johari

 



KUCHING -- Penggunaan media sosial seperti Telegram dan WhatsApp harus dipergiatkan sebagai antara platform berdakwah dan berkongsi idea mengenai Islam khususnya kepada generasi baharu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata melalui kemajuan teknologi komunikasi, jarak fizikal tidak lagi menjadi penghalang untuk berhubung dengan serta-merta dan ia seharusnya membuka peluang yang luas untuk mempromosikan lagi nilai-nilai Islam.

“Ia tidak lagi janggal untuk kita mengguna dan menyesuaikan dengan (teknologi baharu). Saya percaya dalam beberapa tahun lagi, kita akan menggunakan hologram iaitu kaedah futuristik untuk memaparkan imej menggunakan cahaya untuk membentuk objek 3D dan saya mempunyai pengalaman ini di Korea (semasa lawatan baru-baru ini),” katanya lapor Bernama. 

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung ke-19 Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di sini hari ini, beliau berkata Mesyuarat Exco serantau RISEAP baru-baru ini juga dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.



Menurut Abang Johari, melalui kesinambungan tadbir urus yang cemerlang, RISEAP akan dapat meluaskan jangkauan mereka daripada 24 negara anggota ketika ini, meningkatkan jumlah keahliannya pada tahun-tahun akan datang.

“Terdapat banyak peluang untuk penganut agama berbeza untuk berkumpul dan meningkatkan persefahaman bersama. Ia memerlukan keyakinan dan keterbukaan untuk mendekati dan mengambil langkah yang akan membawa kita bersama dengan mempromosikan persefahaman antara agama dan bekerjasama rapat dengan kumpulan agama lain,” kata Abang Johari.

RISEAP ditubuhkan pada 11 Nov 1980 dengan matlamat untuk menyatukan negara-negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik.



Perdana Menteri pertama Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Presiden pertama RISEAP dan kini jawatan itu disandang oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud selepas menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 1988.

LihatTutupKomentar